Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Situasi 1
Lafaz taklik: "Tak dengar cakap kita (suami), jatuh talak 3"
Situasi: Suami di ruang tamu tingkat 1, isteri di bilik tingkat 3. Isteri turun duduk tingkat 2 and panggil suami naik bilik sebab isteri tak boleh tidur. Isteri ajak suami masuk bilik tapi suami diam. Isteri ajak beberapa kali kemudian suami kata naik dulu. Suami kata naik atas jangan turun kecuali nak pergi kerja. Isteri ajak lagi naik atas lagi sekali tapi suami diam dan tidak menyahut. Isteri turun tangga sikit sikit sebab nak panggil suami naik bilik disebabkan suami tidak menyahut panggilannya. Kemudian, isteri turun tingkat 1 dan datang ke suami. Suami tanya kenapa turun. Suami dah pesan jangan turun. Tak dengar cakap suami, dah jatuh talak. Kemudian isteri cakap isteri turun sebab nak panggil suami sebab suami tak nyahut isteri panggil banyak kali dan ingin memujuk suaminya. Sebelum isteri naik, isteri suruh suami berjanji yang suami akan naik bilik dan suami janji. Sebelum subuh isteri sedar yang suami tiada di bilik jadi isteri turun bawah tengok suami tidur di ruang tamu. Isteri turun tingkat 1 dan mengajak suami naik bilik. Suami sedar dari tidur dan tanya kenapa turun. Suami dah pesan jangan turun. Suami kata dah jatuh talak sebab isteri tak dengar cakap suami.
Persoalan: Adakah taklik dah jatuh dalam situasi ini?
Situasi 2
Lafaz taklik: "Jika salah seorang tipu sama ada sengaja atau tidak, jatuh talak 3"
Situasi: Dalam situasi 1 tadi, suami ada berjanji dengan isteri bahawa dia akan naik ke bilik. Tetapi sebelum subuh isteri sedar yang suami tiada di bilik jadi isteri turun bawah tengok suami tidur di ruang tamu. Suami mengatakan tiada sebab dia naik bilik memandangkan suami kata isteri telah tidak mendengar cakap dia dan telah turun. Jadi bagi suami, tipu yang dia lakukan ini tidak membawa apa apa maksud kerana menganggap talak telah jatuh semasa isteri tidak mendengar cakap suami dalam situasi 1 tadi.
Persoalan: Adakah taklik dalam situasi ini dikira jatuh juga?
Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Lafaz: "Tak dengar cakap kita (suami), jatuh talak 3."
Berdasarkan situasi yang puan nyatakan, secara zahirnya dapat difahami bahawa suami telah meletakkan suatu syarat taklik yang dikaitkan dengan tindakan isteri yang tidak mematuhi arahannya. Dalam kes ini, puan menyatakan bahawa suami melarang puan turun ke tingkat bawah, namun puan tetap berbuat demikian. Oleh itu, pada zahirnya terdapat kemungkinan bahawa perbuatan yang disyaratkan dalam taklik tersebut telah berlaku.
Walau bagaimanapun, penentuan sama ada syarat taklik itu benar-benar telah dipenuhi dan sama ada talak telah jatuh atau sebaliknya bukanlah sesuatu yang boleh diputuskan hanya berdasarkan satu pihak atau melalui keterangan ringkas. Ia memerlukan penelitian terhadap lafaz yang digunakan, maksud sebenar lafaz, niat suami ketika melafazkannya, serta fakta-fakta yang berkaitan.
Sehubungan itu, memandangkan pengesahan lafaz cerai dan taklik berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka perkara ini hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan penentuan rasmi. Mahkamah Syariah merupakan pihak yang berautoriti untuk menilai sama ada lafaz tersebut memenuhi syarat-syarat yang boleh menyebabkan berlakunya talak atau sebaliknya.
2. Lafaz: "Jika salah seorang tipu sama ada sengaja atau tidak, jatuh talak 3."
Dalam situasi ini, isu utama yang perlu diteliti ialah sama ada tindakan suami yang berjanji untuk naik ke bilik tetapi kemudiannya tidak berbuat demikian boleh dianggap sebagai "tipu" sehingga memenuhi syarat taklik yang telah ditetapkan.
Dari sudut fiqh, tidak semua janji yang tidak ditunaikan semestinya dianggap sebagai dusta (kizb). Seseorang mungkin membuat janji dengan niat yang benar untuk melaksanakannya, namun kemudiannya berlaku perubahan keadaan atau perubahan keputusan yang menyebabkan janji tersebut tidak dapat ditunaikan. Dalam keadaan sedemikian, kegagalan menunaikan janji tidak semestinya bererti dia telah berdusta.
Berdasarkan keterangan yang diberikan, suami menyatakan bahawa dia tidak naik ke bilik kerana beranggapan talak telah pun jatuh sebelum itu. Keadaan ini menunjukkan kemungkinan bahawa ketika janji tersebut dibuat, beliau sememangnya berniat untuk naik ke bilik, namun kemudiannya membuat keputusan yang berbeza atas sebab tertentu.
Oleh itu, untuk menentukan sama ada syarat "tipu" dalam taklik tersebut telah berlaku, beberapa perkara perlu diperjelaskan terlebih dahulu, antaranya:
Sekiranya suami pada asalnya benar-benar bercadang untuk naik ke bilik, namun kemudiannya tidak berbuat demikian, maka perbuatan tersebut tidak semestinya dikategorikan sebagai "tipu" yang menyebabkan taklik berkuat kuasa.
Sebagai peringatan bersama, lafaz talak tidak wajar dijadikan alat ugutan atau dikaitkan dengan setiap perkara kecil dalam rumah tangga. Perbuatan terlalu mudah menggantung talak pada pelbagai keadaan boleh mengundang kekeliruan, keraguan dan kemudaratan kepada institusi keluarga itu sendiri. Sedangkan syariat mensyariatkan talak sebagai jalan penyelesaian terakhir apabila kehidupan rumah tangga tidak lagi dapat dipertahankan dengan cara yang baik, bukan sebagai ancaman dalam setiap perselisihan atau pertengkaran.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 231:
Maksudnya: Dan janganlah kamu menjadikan hukum-hakam Allah itu sebagai bahan permainan.
Justeru, setiap suami hendaklah berhati-hati dalam melafazkan talak atau taklik serta mengelakkan penggunaan lafaz-lafaz yang boleh menimbulkan keraguan dan pertikaian pada masa hadapan.
Sekian terima kasih