BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum.. Tuan, 

Saya bertengkar dengan isteri dan dlm pertengkaran tersebut sy mengatakan nnti balik kampung bawa kain baju n duduk terus dikampung..Sekadar utk menyedarkan isteri tanpa niat talak..Saya tahu tidak jatuh talak sbb sy tidak berniat utk talak.. Tapi kemudian sewaktu dlm kereta berlaku lg pertengkaran n isteri mengungkit apa yg sy ckp.. dgn mengatakan apa yg sy ckp tlh mnyebabkan talak jatuh...

    Isteri berterusan menekan sy mngatakan talak jatuh sbb mendengar ustaz di youtube mengatakn demikian.. mnyebabkan sy hilang sabar n dlm keadaan marah sy mngatakan kalau itu yg AWAK NAK kita putuskn macam tu lah.. Pertanyaan saya adakah telah jatuh talak sebab..

1..walaupun sy berkata demikian sy masih tidak berniat utk jatuhkan talak.. 

2..Saya berkata demikian sebab sy tahu isteri sy juga tidak mahu di ceraikan n sy berkata dlm keadaan marah dan mahu isteri sy diam sahaja..

maklum balas dari tuan amat saya hargai.. 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan :

Lafaz "Nanti balik kampung bawa kain baju dan duduk terus di kampung" bukanlah lafaz talak sarih (jelas) kerana tidak mengandungi perkataan seperti "cerai", "talak", "aku ceraikan" atau lafaz lain yang secara jelas menunjukkan perceraian. Sebaliknya, lafaz tersebut lebih hampir kepada lafaz kinayah (sindiran) yang boleh membawa maksud perceraian atau makna lain bergantung kepada konteks dan niat orang yang melafazkannya.

Oleh sebab tuan menyatakan bahawa tujuan lafaz tersebut hanyalah untuk menyedarkan, menegur atau memberi peringatan kepada isteri, serta tidak disertai niat untuk menceraikannya, maka pada asalnya lafaz tersebut tidak menyebabkan talak jatuh.

Begitu juga lafaz "Kalau itu yang awak nak, kita putuskan macam itulah" bukanlah lafaz talak sarih. Lafaz ini bersifat tidak jelas dan boleh ditafsirkan dengan beberapa makna. Oleh itu, ia termasuk dalam kategori lafaz kinayah yang memerlukan niat talak untuk mensabitkan berlakunya perceraian.

Maka, sekiranya benar ketika mengucapkan lafaz tersebut tuan tidak berniat untuk menjatuhkan talak, maka dari sudut hukum fiqh, lafaz kinayah tersebut pada asalnya tidak menyebabkan talak jatuh. Namun demikian, niat merupakan perkara yang hanya diketahui oleh orang yang melafazkannya. Oleh itu, tuan perlu menilai dengan jujur keadaan hati dan maksud sebenar ketika lafaz tersebut diucapkan. Sekiranya pada ketika itu wujud niat atau kehendak untuk menceraikan isteri, maka hukumnya adalah berbeza.

Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan penjelasan dan pengesahan yang lebih berautoriti, tuan disarankan untuk merujuk perkara ini kepada Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama Islam yang berdekatan. Institusi-institusi tersebut mempunyai bidang kuasa untuk meneliti lafaz, konteks, niat serta keterangan pihak-pihak yang terlibat sebelum membuat keputusan berhubung status talak.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 10

message user image