BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum ustaz @ ustazah . saya tanya ? saya dan suami telah bercerai taklik jika buat benda tu sekali lagi akan jatuh talak pada saya . Dan suami telah langgar tanpa pengetahuan saya . sebulan lebih kemudian saya dapat tahu . selepas tu saya dan suami rujuk . suami melafazkan rujuk dan ketika itu saya tak pasti berapa kali suci sebab haid yang tak menentu ( makan ubat perancang ) . Jadi macam mana nak kira iddah saya?  


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan situasi yang dinyatakan ini, terdapat 3 perkara yang perlu diberi perhatian:

1. Talak taklik - Apabila suami telah melafazkan talak taklik (bersyarat) dan telah melanggarinya, talak tersebut secara automatiknya telah jatuh pada masa tersebut meskipun puan tidak mengetahui bilakah masa mulanya.

2. Rujuk - Sekiranya talak yang dijatuhkan itu adalah talak raj'i (talak satu atau dua), suami boleh merujuk puan selagi mana masih dalam tempoh iddah. Maka, lafaz tersebut adalah sah.

3. Iddah dalam keadaan haid yang tidak menentu - Tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan dan masih didatangi haid adalah selama 3 kali suci (quru').

Adapun dalam kes ini, puan tergolong dalam kategori wanita yang haidnya tidak menentu (al-Mutahayyirah) disebabkan pengambilan pil perancang. Justeru ulama fiqh mempunyai beberapa pandangan:

  • Mazhab Syafi'ie dan Hanbali serta Hanafi (dalam satu pendapat): Wanita dalam kategori ini hendaklah beriddah selama tiga bulan kerana kebiasaannya pada setiap bulan, akan terdapat tempoh suci dan haid. Pandangan ini lebih mudah dan sering diamalkan oleh masyarakat.
  • Maliki dan Syafi'ie (pandangan lain): Wanita yang haidnya terhenti tanpa sebab yang diketahui (bukan disebabkan hamil atau putus haid) perlu menunggu selama 9 bulan (tempoh kehamilan maksimum) untuk memastikan rahimnya benar-benar kosong, kemudian menambah lagi 3 bulan tempoh iddahnya menjadikan tempoh iddahnya 12 bulan (satu tahun).

Justeru, berdasarkan situasi ini, puan perlu mendapatkan maklumat atau pengesahan lebih lanjut dengan Bahagian Undang-undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Rendah Syariah terdekat kerana mereka merupakan pihak yang berautoriti untuk mengesahkan status talak dan iddah yang perlu dijalani.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 10

message user image