Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Atas sebab keraguan kerana kecurangan, saya paksa suami saya bersumpah sambil pegang Al-Quran dan suami sebut ‘saya xxxxxxx, sumpah takde ape-ape dgn dia dah’..Selepas tu suami ikut ayat saya ‘takde rindu and sikit sayang pon, kalau ada jatuh talak 1’..sebelum suami cakap talak 1, suami tanya saya, 'ini yang awak nak kan?' selepas saya angguk, suami pon cakap 'talak 1'..
Persoalan saya:-
1. Adakah lafaz taklik tu sah sebab syaratnya subjektif berkenaan hati.
2. Adakah talak sudah jatuh kerana suami sebut talak 1
Untuk maklumat, suami pernah cakap dengan saya banyak kali dan pernah juga cakap dengan perunding cara dia takkan dan tak pernah niat untuk lepaskan saya.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Lafaz suami "takde rindu and sikit sayang pon, kalau ada jatuh talak 1’' adalah termasuk dalam kategori taklik talak kerana talak digantungkan kepada suatu syarat, iaitu kewujudan "rindu" atau "sayang" terhadap wanita tersebut, walaupun syarat yang digantungkan itu berkaitan dengan perasaan hati, bukan perbuatan zahir yang boleh dipastikan secara jelas. Dalam pensabitan hukum, syarat yang berkaitan dengan perkara batin seperti kasih, cinta, benci dan seumpamanya adalah sangat sukar dibuktikan dan ia hanya dapat diketahui oleh orang yang melafazkannya serta Allah SWT.
Dalam praktik kehakiman syariah, perkara yang berkaitan dengan isi hati biasanya memerlukan pengakuan suami sendiri kerana ia bukan sesuatu yang boleh dibuktikan secara zahir.
2. Jika perkataan "talak satu" itu hanyalah sebahagian daripada lafaz syarat yang sedang diulanginya (iaitu ".........kalau ada jatuh talak satu"), maka ia bukan semestinya talak yang terus berkuat kuasa ketika itu, tetapi talak yang digantungkan pada syarat. Oleh sebab itu, penentuan sama ada perkataan "talak satu" tersebut merupakan sebahagian daripada lafaz taklik, atau satu lafaz talak yang berdiri sendiri adalah sangat bergantung kepada lafaz yang tepat, cara ia diucapkan, serta niat dan konteks keseluruhan percakapan.
Memandangkan lafaz ini melibatkan keterangan dan penjelasan teliti daripada pihak suami dan puan, maka adalah sangat wajar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama Islam Dareah yang berhampiran untuk penelitian lafaz secara tepat dan terperinci.
Sekian terima kasih