Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz. Maaf ganggu Saya Nak tumpang tanya, ada yang kata ayat Al-Quran di bawah ini tak boleh diterjemah terus. Adakah ayat Al-Quran di bawah ini mempunyai maksud yang lain. Allah melarang kita memilih orang kafir sbg pemimpin ada lebih kurang 20 ayat? Buktinya ayat ke-136 surah an-Nisa', bahawa orang yang memilih orang KAFIR sebagai AULIA dengan meninggalkan orang MUKMIN adalah KAFIR MUNAFIK. الَّذِيْنَ يَتَّخِذُوْنَ الْـكٰفِرِيْنَ اَوْلِيَآءَ مِنْ دُوْنِ الْمُؤْمِنِيْنَ ۗ اَيَبْتَغُوْنَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَاِنَّ الْعِزَّةَ لِلّٰهِ جَمِيْعًا "(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi aulia dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu,....." (An-Nisa' 4 : 139) Ali Imraan : 28,Ali Imraan : 118,Ali Imraan: 149–150.An-Nisaa’ : 144,Al-Maa-idah : 51.Al-Maa-idah : 57,Al-Maa-idah : 80–81.At-Taubah : 16,At-Taubah : 23,Al-Mujaadilah : 14–15,Al-Mujaadilah : 22,Al-Qasshash : 86,An-Nisaa’ : 138–139.An-Nisaa’ : 141.Al-Mumtahanah : 1.Al-Mumtahanah : 5.Al-Mumtahanah : 13, 1. Al-Qur’an M E L A R A N G Menjadikan orang Kafir Sebagai PEMIMPIN Ali Imraan: 28, An-Nisaa’: 144,Al-Maa-idah: 57. 2. Al-Qur’an M E L A R A N G Menjadikan orang Kafir Sebagai PEMIMPIN Walau KERABAT Sendiri.At-Taubah: 23, Al-Mujaadilah: 22, 3. Al-Qur’an M E L A R A N G Menjadikan orang Kafir Sebagai AULIA / TEMAN SETIA. Ali Imraan: 118, At-Taubah: 16. 4. Al-Qur’an M E L A R A N G SALING TOLONG dengan kafir yang akan MERUGIKAN umat islam. Al-Qasshash: 86, Al-Mumtahanah: 13.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, untuk memahami maksud larangan Allah SWT daripada orang Islam mengambil atau memilih orang kafir sebagai pemimpin, boleh merujuk kepada huraian ayat pertama surah Al Mumtahanah, kerana ia juga berkait rapat dengan mengambil pemimpin dari kalangan musuh Islam. Firman Allah SWT : يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَآءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا۟ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلْحَقِّ يُخْرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَٰدًا فِى سَبِيلِى وَٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِى ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعْلَمُ بِمَآ أَخْفَيْتُمْ وَمَآ أَعْلَنتُمْ ۚ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ Maksudnya ; “Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu (kafir Quraisy) menjadi teman rapat (pemimpin), dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin), dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu, mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah SAW dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah SWT tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul”. (al-Mumtahanah : 1) Sebab nuzul ayat ini adalah kerana, salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Hatib bin Abi Balta’ah , setelah mendapat berita bahawa Rasulullullah SAW bertekad untuk melaksana pembukaan Makkah pada tahun ke-8 Hijrah dan mengisytihar perang terhadap kafir Quraisy di Makkah kerana pelanggaran janji mereka, beliau telah mengirim sepucuk surat melalui seorang wanita kepada kafir Quraisy yang tertulis : “Surat ini dari Hatib bin Abi Balata’ah kepada penduduk Makkah, ketahuilah Rasulullah SAW menghendaki kamu, maka berwaspadalah”. Maka Jibril AS menyampaikan berita perbuatan itu kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda mengarahkan beberapa orang sahabat untuk pergi merampas semula surat dari wanita tersebut. Setelah berjaya membawa surat itu kepada Rasulullah SAW, baginda lantas meminta penjelasan daripada Hatib bin Abi Balata’ah berkaitan surat yang ditulisnya. Hatib bin Abi Balata’ah memohon maaf kepada Rasulullah SAW dan menjelaskan bahawa tujuan surat itu ditulis adalah kerana beliau bimbang akan keselamatan anak-anaknya di Makkah dan hanya mengharapkan bantuan daripada kafir Quraisy Makkah yang merupakan sahabat lama beliau sebelum memeluk Islam, untuk menjaga keselamatan anak-anaknya jika berlaku peperangan atau pertempuran ketika pembukaan Makkah nanti. Bukanlah niat beliau untuk menyelamatkan musyrikin Makkah kerana yakin Allah SWT akan tetap mengalahkan mereka. Bukan juga bertujuan berpaling tadah kepada kaum kafir dan bukan juga ingin murtad . Maka turunlah Ayat pertama Surah al-Mumtahanah berkaitan larangan menjadikan musuh Islam sebagai teman setia dengan cara menyampaikan berita rahsia. Di penghujung surah ini, iaitu ayat yang ke-13, ditegaskan sekali lagi larangan mengambil teman rapat dari kalangan mana-mana kaum yang dimurkai Allah. يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَوَلَّوْا۟ قَوْمًا غَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ قَدْ يَئِسُوا۟ مِنَ ٱلْءَاخِرَةِ كَمَا يَئِسَ ٱلْكُفَّارُ مِنْ أَصْحَٰبِ ٱلْقُبُورِ Maksudnya ; “Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah SWT, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur”. (al-Mumtahanah:13) Sebab nuzul ayat terakhir ini adalah, sesungguhnya sebahagian daripada orang Islam yang miskin pada ketika itu mereka berbaik-baik dengan orang Yahudi untuk mendapat sebahagian dari buah-buahan dan kadang kala menceritakan sesuatu berita (rahsia) orang Islam kepada yahudi . Larangan di dalam dua ayat di atas adalah merujuk kepada larangan menjadikan musyikin (orang kafir) termasuk yahudi, sebagai teman rapat sehingga menceritakan rahsia orang Islam kepada mereka yang boleh menyebabkan mudhorat dan kesan buruk kepada umat Islam. Dalam konteks melantik orang kafir sebagai pemimpin, Imam Ibnu Hajar Al Haithami berpendapat bahawa harus mengangkat orang bukan Islam untuk suatu jawatan jika ada padanya maslahah dan jika jawatan tersebut tidak mampu dipikul oleh mana-mana orang Islam, atau orang Islam mempunyai sifat khianat dan orang bukan Islam tidak mempunyai sifat tersebut. Namun, pihak yang menggangkatnya ke jawatan tersebut perlu mengawal selia dan mampu mencegahnya daripada melakukan sebarang kemudharatan terhadap orang Islam. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.