BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

 

Saya ingin bertanya berkenaan bayaran fidyah. Saya ada puasa yang masih belum diganti dari tahun 2020 sehingga 2024. Namun pada tahun 2025 saya sudah membuat bayaran fidyah bagi puasa yang masih belum di qada tersebut. Jika sudah masuk ramadhan 2026 dan masih ada puasa yang masih belum di qada bagi tahun 2020-2024,adakah saya masih perlu membuat bayaran fidyah bagi tahun-tahun tersebut?

Sekian terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan puan, pada tahun 2001, Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah sebulat suara membuat keputusan bahawa:

Harus menggunakan 2 kaedah:

i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.
ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.

Bagi situasi puan yang sudah membayar fidyah tetapi belum habis qada dan sudah masuk ramadhan 2026, perlu dilihat kepada dua keadaan:

1. Sekiranya puan membayar dengan bayaran fidyah berganda:

Puasa Ramadhan tahun-tahun sebelum yang ditinggalkan hendaklah diqada' sebelum datangnya bulan Ramadhan tahun 2026. Seandainya gagal, maka denda atau fidyah hendaklah dibayar berdasarkan jumlah hari yang belum diqada'. 

2. Sekiranya puan membayar dengan bayaran fidyah tidak berganda:

Jika puasa Ramadhan pada tahun sebelum telah dibayar fidyahnya, maka memadailah dengan satu kali bayaran fidyah sahaja. Walaupun berlalu bulan Ramadhan yang baru dan puasa tersebut belum lagi diqada', tidak perlu lagi membayar fiqyah di atas kelewatan tersebut. Namun puasa yang ditinggalkan itu tetap wajib diqada'.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 3

message user image