Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Saya adalah seorang isteri yang telah berkahwin dengan suami saya selama 35 tahun. Pada tahun lepas saya mendapati, suami saya telah mencurangi saya sejak tahun 2021 dan katanya telah menikah senyap2 di Thailand, namun tiada bukti pernikahan. Sebelum ini pun saya pernah di curangi pada tahun 2013 dan 2018 . Kami juga telah bercerai sebanyak 2 kali secara taklik dan lafaz kinayah atas sebab kecurangannya. Pada kali ini saya membuat keputusan untuk memfailkan perceraian kerana kecurangannya berulang-ulang. Peguam saya akan memfailkan permohonan perceraian pada 30 April 2026 untuk mendapatkan tarikh perbicaraan.
Majlis konvokesyen anak lelaki saya akan diadakan pada 20 May 2026. Sekiranya pada tarikh tersebut, telah jatuh talak tiga ke atas saya dan berada di dalam iddah, bolehkah saya menghadiri majlis konvokesyen anak lelaki saya. Anak memberi keutamaan kepada saya sebagai ibu yang mendidiknya untuk hadir selaras hadis Rasulullah SAW untuk mengutamakan ibu tiga kali sebelum bapa. Beliau tidak mahu menjemput bapanya sebagai ganti untuk hadir sekiranya saya tidak hadir. Jika dibolehkan hadir, saya samada akan hadir bersendirian atau ditemani mahram
Mohon pandangan dari Tuan
Sekian, terima kasih
Yang benar
Nur Zunaidah Binti Abdul Khanan
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Menurut pandangan mazhab al-Syafi‘i, wanita yang berada dalam tempoh iddah talak bain dibenarkan keluar dari rumah bagi memenuhi keperluan dan urusan yang diharuskan syarak, antaranya seperti:
Walau bagaimanapun, keharusan tersebut hendaklah disertai dengan menjaga batas-batas syarak seperti memelihara aurat, menjaga pergaulan serta mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
Sehubungan itu, sekiranya puan ingin menghadiri majlis konvokesyen anak lelaki puan, maka perkara tersebut adalah dibolehkan dengan syarat puan menjaga pakaian dan hias diri serta akhlak dalam adab dan batas-batas syarak sepanjang menghadiri majlis tersebut. Ini kerana wanita dalam iddah bain tidak lagi berada di bawah hak rujuk suami, dan wanita tersebut boleh keluar rumah untuk urusan yang mempunyai hajat atau keperluan yang munasabah. Menghadiri konvokesyen anak yang merupakan peristiwa penting dalam kehidupan anak boleh dianggap sebagai suatu hajat yang diiktiraf, khususnya jika kehadiran ibu memberi sokongan emosi dan kekuatan kepada anak.
Sekian terima kasih