Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum W.B.T.
Saya ada soalan.
Seorang designer mendapat task daripada client non Muslim untuk membuat iklan di sebuah restoran non Muslim, iklan tersebut mempunyai gambar makanan yang tidak Halal seperti babi panggang.
Soalan: Apakah hukum melukis gambar babi panggang & juga apakah hukum Hasil daripada task tersebut?
Jawapan
Hukum melukis atau melakar sesuatu benda yang bernyawa adalah harus sekiranya ia bertujuan sebagai promosi perniagaan atau pameran jualan. Keharusan ini adalah selagi mana ia bukan bertujuan memuliakan lukisan atau untuk kegunaan penyembahan.
Manakala melukis gambar khinzir bertujuan promosi atau jualan adalah tidak dibenarkan kerana ia menggalakkan kepada perkara yang haram. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Berkenaan dengan mengambil upah daripada task melukis khinzir, terdapat perincian yang perlu diteliti. Sekiranya upah dibayar atau diterima berdasarkan tugasan atau task, maka tidak dibenarkan mengambil upah tersebut berdasarkan larangan yang terdapat pada Surah al-Ma'idah ayat 2 sebentar tadi.
Sekiranya seseorang designer menerima gaji daripada majikan dan hasil gaji itu adalah daripada kepelbagaian tugasan, maka dibenarkan untuk menerima gaji tersebut kerana hakikat yang meneriman upah tersebut adalah majikan atau syarikat. Walaupun begitu, usahakanlah untuk mendapatkan hasil rezeki yang lebih diberkati.
Sekian, terima kasih.