Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM.
SOALAN SAYA MENGENAI TANGGUNGJAWAB WARIS YANG DIWAJIBKAN MEMBERI NAFKAH KEPADA ANAK-ANAK ARWAH APABILA BALUNYA SUDAH BERKAHWIN SEMULA /BARU. ADAKAH WARIS KEPADA KELUARGA SI MATI MASIH MENANGGUNG NAFKAH ANAK-ANAKNYA YANG MASIH DI BAWAH UMUR SEHINGGA MEREKA BALIGH?
TERIMA KASIH.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, wali kepada anak-anak tersebut wajib menanggung lebih-lebih lagi mereka masih di bawah umur baligh. Nafkah sedikit atau banyak itu ikut pada kemampuan wali anak-anak tersebut. Ia tidak diukur dengan amaun tertentu. Terpulang kepada rezeki masing-masing.
Firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
(Surah al-Talaq, 7)
Sesungguhnya, jika semua pihak dalam perwalian memainkan peranan dan tanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak, mereka akan di beri ganjaran sebaik-baiknya oleh Allah SWT. Disamping menjaga hubungan silaturrahim, hubungan disebabkan darah daging atau nasab/ keturunan lebih utama di dahulukan keperluannya berbanding orang lain.
Sekiranya balu berlahwin semula, maka ayah tiri yang menanggung anak tiri juga mendapat ganjaran kebaikan kepadanya. Isu nafkah anak-anak ini jangan sampai keperluan dan kebajikan mereka terabai dan tidak dipedulikan oleh kaum kerabatnya sendiri.
Sekian, terima kasih.