Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Kita sedia maklum bahawa apabila bersahur dan terdengar azan Subuh, kita wajib untuk keluarkan isi makanan yang berada dalam rongga mulut. Tapi bagaimana dengan air liur yang ditelan selepas makanan dikeluarkan, masih berasa makanannya. Pastinya dekat tekak/kerongkong kita tu masih bersisa makanan sebabkan kita tak sempat nak minum air ibarat 'membilas makanan'. Walaupun kita sudah meluahkan makanan dalam mulut, sisa air liur di tekak sukar untuk diludahkan. Adakah sama hukumnya seperti ada kahak berada di kerongkong, kita boleh menelannya asalkan kahak tu tak berasa dalam rongga mulut.
Jawapan
Puasa adalah menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar (waktu subuh) sehingga terbenam matahari (waktu maghrib) dengan niat berpuasa. Di antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam badan melalui rongga terbuka iaitu mulut, hidung, telinga dan dua kemaluan.
Telah disebutkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i bahawa:
“Sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, tidak membatalkan puasa sekiranya susah membeza dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Jika tiada kesulitan sedemikian, puasanya batal disebabkan kecuaiannya.”
Justeru, difahami bahawa sekiranya terdapat sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, maka ia tidaklah membatalkan puasa seseorang. Hal ini jika sekiranya susah untuk membezakan dan meludahkannya disebabkan ada halangan dan ia berlaku bukan kerana kecuaiannya, dan jika sekiranya kuantitinya adalah sedikit. Sebaliknya, jika kuantiti sisa-sisa makanan adalah banyak, dan dia mampu untuk meludahnya, tetapi dia tidak meludahnya, maka ia membatalkan puasa.
Berdasarkan soalan yang diajukan, jika rasa makanan tersebut dalam kuantiti yang sangat sedikit serta menyukarkan untuk membeza dan meludahkannya, maka ia tidak membatalkan puasa. Namun, sekiranya lebihan sisa makanan itu dalam kuantiti yang banyak, maka batal puasa tersebut.
Sekian, terima kasih.