BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt, saya seorang wanita yang mengalami keputihan sejak baligh (sekitar umur 13 tahun). Semasa berpuasa, saya membersihkan qubul dengan memasukkan hujung jari sedikit kerana bimbang masih ada baki keputihan jika dibersihkan di bahagian luar sahaja. Pada ketika itu, saya tidak mengetahui bahawa perbuatan tersebut boleh membatalkan puasa, dan saya baru mengetahui hukumnya kini pada usia 23 tahun.Saya ingin bertanya:Adakah membersihkan qubul di bahagian luar sahaja semasa berpuasa sudah mencukupi untuk sah solat walaupun timbul rasa tidak yakin masih ada baki keputihan?Jika perbuatan memasukkan jari tersebut dilakukan dalam keadaan jahil dan telah lama berlalu, adakah saya wajib mengqadha puasa-puasa yang lalu, atau adakah ia dimaafkan kerana melibatkan perkara fiqh yang rumit berkaitan urusan wanita?Mohon pencerahan. Terima kasih.
Wassalam.


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

  1. Perlu difahami bahawa bahagian faraj yang wajib dibasuh ketika beristinjak hanyalah bahagian zahir iaitu kawasan yang kelihatan apabila seseorang wanita duduk mencangkung. Adapun memasukkan jari untuk membersihkan lendiran atau kekotoran pada bahagian batin faraj tidak dituntut dalam istinjak meskipun sebahagian wanita melakukannya sebagai kebiasaan. Perbuatan tersebut tidak menjadi isu ketika tidak berpuasa, namun ia boleh membatalkan puasa jika sesuatu dimasukkan ke kawasan batin faraj. Oleh itu, memadai membersihkan bahagian zahir sahaja dan solat tetap sah walaupun masih terdapat lendiran atau keputihan pada bahagian batin. Bahagian batin faraj hanya dituntut dibersihkan secara menyeluruh ketika mandi wajib. 

  2. Hukum asal memasukkan sesuatu ʿain ke dalam rongga badan yang terbuka ketika berpuasa ialah membatalkan puasa. Namun, puasa terdahulu bagi wanita yang tidak mengetahui hukum ini tetap sah dan tidak perlu diqada’ kerana kejahilan dalam perkara yang tersembunyi seperti ini termasuk antara keadaan yang dimaafkan dalam syariat dan hanya berlaku dalam permasalahan tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, setelah mengetahui hukumnya, maka wajib baginya meninggalkan amalan tersebut dan beramal dengan cara yang betul. 

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 45

message user image