Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Ayah saya menghidapi penyakit Alzheimer dan baru sahaja menjalani pembedahan penggantian tulang pinggul. Akibat daripada penyakit Alzheimer beliau, saya dan keluarga saya tidak dapat mengawal tingkah lakunya seperti mahu mencabut balutan luka pembedahan, enggan tidur dan menjerit di waktu malam, bersikap agresif serta memaki hamun sekiranya arahannya tidak dipatuhi. Kami sekeluarga bercadang untuk menghantarnya ke pusat penjagaan warga emas demi kebaikan dan kesihatannya. Namun saya rasa serba salah kerana takut berdosa dan dianggap sebagai anak derhaka.
Apakah hukumnya sekiranya saya menghantar bapa saya ke pusat penjagaan warga emas?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, secara umumnya, kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibu bapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra' :
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Namun dalam hal berkaitan dengan kesihatan, sekiranya perkara menghantar ayah ke rumah orang tua adalah demi memastikan kesihatannya terpelihara, maka ia adalah harus. Namun mestilah mendapat persetujuan orang tua terlebih dahulu dengan kesukaan dan kerelaan hatinya. Selain dari itu, fasiliti di pusat berkenaan hendaklah bersih tempat tinggal dan tempat beribadat serta mematuhi hukum syarak.
Kesimpulannya, jika keadaan di rumah menyebabkan kesihatan bapa anda terjejas, atau membahayakan diri beliau dan ahli keluarga lain akibat tingkah laku yang tidak terkawal, maka mencari bantuan profesional adalah tindakan yang bertanggungjawab dan dibenarkan. Islam mengutamakan kemaslahatan (kebaikan) dan mengelakkan kemudaratan.
Sekian, terima kasih.