BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Apa hukum memancing tanpa memberitahu isteri..??

Apa hukum isteri menindik pusat tanpa persetujuan suami..??


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Secara asasnya, Islam tidak melarang suami untuk keluar rumah untuk membaritahu isteri dahulu sebelum keluar. Sebaliknya, isteri yang wajib untuk meminta izin suami jika hendak keluar ke mana-mana. Oleh itu, harus bagi suami untuk keluar memancing tanpa memberitahu isteri. Walaupun begitu, jika keluar memancing tanpa memberitahu isteri boleh membuat isteri berkecil hati dan melukakan perasaannya, maka ia tidak digalakkan dan perlu dielakkan. Hal ini kerana, isteri berhak untuk berasa bahagia serta gembira dan suami perlu menunaikan hak tersebut sebagai salah satu nafkah batin. Hendaklah dalam berumah tangga ini ada toleransi yang sangat tinggi sesama suami isteri. Sekiranya dengan memberitahu isteri untuk keluar memancing boleh menggembirakan hatinya, maka memberitahu adalah lebih baik daripada tidak memberitahu.

Manakala hukum menindik pusat adalah haram kerana dikhuatiri menyerupai kaum fasik dan kafir. Hal ini sebagaimana hadis daripada Ibn Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka. (Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, dilarang bagi seseorang isteri untuk menindik pusat walaupun diperintah oleh suami. Perbuatan menindik hanya diharuskan pada telinga sahaja.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 11

message user image