Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,saya nak tanya,najis cicak yang kering boleh ke disapu tanpa jirus air?dan sebelum sapu,adakah kita kena bau?
Satu lagi soalan,betul ke kalau taik cicak kering kita sapu tapi ada bau,adakah najis berpindah tempat?
Sekian terima kasih.
Jawapan
Najis cicak, sama ada kering atau basah, adalah najis. Namun, terdapat kelonggaran dalam mazhab Syafi'i bagi najis yang sedikit dan sukar dielakkan, seperti najis burung atau cicak yang jatuh di tempat yang sukar dibersihkan, ia dimaafkan jika tidak mengubah sifat air atau tempat solat.
Sekiranya najis cicak tersebut kering, maka boleh terus buang sahaja najis cicak tersebut.
Seandainya terdapat kesan yang jelas seperti ain najis mahupun bau, maka hanya tempat yang terdapat kesan itu sahaja yang perlu dicuci. Manakala tempat yang tidak terdapat kesan najis, maka ia dimaafkan.
Jika najis cicak itu kering dan tidak ada kesan bau, warna, atau rasa, serta tidak melekat pada pakaian atau badan, maka ia boleh dibersihkan dengan menyapu atau mengikisnya tanpa perlu membasuhnya dengan air. Ini kerana najis yang kering dan tidak meninggalkan kesan dianggap telah hilang 'ain (zat) najisnya.
Sekian, terima kasih.