Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti,
Saya ingin bertanyakan soalan, Haritu saya mencabut kulit di jari saya dengan sengaja sehingga keluar darah yang sedikit lalu membasuhnya tetapi ketika itu saya terlupa atau tidak tahu bahawa darah tersebut tidak dimaafkan jadi apakah air basuhan darah tersebut menjadi mutanajis dan bagaimana hendak membasuh benda yang saya pegang ketika itu dan bagaimana pula dengan orang lain yang memegang benda yang saya pegang ketika itu?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, darah tersebut telah dibasuh sehingga bersih maka tidak perlu was-was kepada perkara atau orang yang dipegang. Sekiranya pegang sesuatu benda ketika darah masih ada, maka perlulah dihilangkan dengan menggunakan bahan seperti tisu basah sehingga hilang kesan warna, bau dan rasa, namun tidak dialirkan padanya air mutlak.
Memandangkan kesan najis sama ada warna, bau atau rasa telah hilang, maka tempat atau sesuatu itu tadi adalah bersih, namun ia tidak suci. Apabila dialirkan air mutlak ke atasnya, maka tempat atau sesuatu itu tadi menjadi suci. Manakala air yang dialirkan itu menjadi mustakmal, dan tidak menjadi air mutanajjis.
Manakala, air basuhan yang bernajis apabila mengalir di atas lantai membawa najis ke lubang air tidak menjadikan lantai itu menjadi bernajis melainkan najis itu berhenti di atas lantai dan kering. Seandainya najis itu mengalir bersama air dan masuk ke dalam lubang air, maka kawasan yang dilalui najis itu tidak menjadi bernajis melainkan terdapat kesan najis seperti warna, bau atau rasa. Sama keadaannya jika air basuhan itu terkena pada dinding atau anggota badan.
Sekian, terima kasih.