BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustaz/ustazah, saya nak tanya,

1. Sebelum solat saya dah check semua rambut saya untuk pastikan aurat tak kelihatan (saya muslimat). Tapi kadang ketika solat, tiba tiba ada rambut yang memang dah gugur di lantai terbang kena sejadah/telekung saya atau rupanya ada rambut yang telah gugur di sejadah.

Adakah solat saya sah? Adakah rambut itu dikira aurat? Saya waswas ketika solat tapi saya teruskan je solat dan beranggapan ia tidak dikira aurat kerana telah terputus dari badan.

adakah betul apa saya lakukan? Sukar untuk saya kawal rambut di lantai tak kena telekung atau sejadah saya.

2. kalau mandi wajib, kadang rambut gugur ditangan ketika sedang menyapu air, adakah air yang disapu badan itu dikira air mustakmal kerana ia telah kena rambut gugur sebelum ia kena pada anggota badan?

3. ketika berwuduk, adakah betul kalau tangan telah diangkat dari anggota wuduk, air di tangan dikira air mustakmal? Dan tak boleh sapu anggota lagi? Tapi ketika basuh muka, susah untuk pastikan setiap inci tapak sentiasa melekap di muka, tanpa terangkat sedikit pun, terutamanya ketikakan ratakan air di dagu etc.

atau sebenarnya ia hanya dikira mustakmal kalau seluruh tapak tangan terangkat dari anggota wuduk?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk soalan yang diajukan:

1. Menurut mazhab shafi’i, rambut wanita yang gugur dianggap sebagai aurat dan haram dilihat oleh lelaki ajnabi.

Kata Imam Abu Bakr Al-Dimyathi Rahimahullah: Setiap apa yang haram untuk dilihat daripada orang lelaki atau orang perempuan semasa berada pada tubuh badannya, ia juga haram untuk dilihat apabila sudah terpisah daripada badannya. Ia seperti rambut perempuan dan juga bulu kemaluan lelaki. Maka wajib untuk disembunyikan. (Lihat I’anah Al-Thalibin, Al-Dimyathi) 

Namun, solat saudari masih sah kerana ia perkara yang tidak boleh dielakkan dan rambut yang gugur tidak termasuk perkara yang membatalkan solat.

2. Sebelum kami menjawab persoalan saudari, ingin  diperjelaskan bahawa, air mustakmal adalah air mutlak yang telah digunakan dengan niat mengangkat hadas sama ada kecil atau besar. Dalam perkara ini, hanya baki  basuhan pertama  yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sahaja  yang dianggap sebagai air mustakmal, manakala  baki air  basuhan yang seterusnya  tidak menjadi  mustakmal kerana hadas telah pun terangkat.

Contoh apabila saudari telah meratakan air ke seluruh badan secara sempurna, maka hadas telah pun terangkat dan baki basuhan tersebut adalah air mustakmal. Kemudian jika saudari masih meneruskan mandi untuk basuhan seterusnya, maka baki air basuhan tidak dikira mustakmal.

Merujuk keadaan saudari, sekiranya air yang disapu pada rambut itu adalah basuhan yang pertama, maka ia telah dikira air mustakmal

3. Basuhan wajib anggota wuduk ialah basuhan pertama, iaitu apabila air telah merata ke seluruh anggota yang wajib dibasuh. Basuhan pertama tidak semestinya berlaku dengan sekali sapuan, bahkan boleh dilakukan melalui beberapa sapuan sehingga air merata. Namun, jika tangan diangkat, air pada tangan telah menjadi air mustakmal. Apabila air tersebut telah menjadi mustakmal, ia tidak menjadikan sapuan pertama tadi terbatal. Saudari hanya perlu mengambil air yang baharu untuk meneruskan basuhan tersebut sehingga air terkena ke seluruh anggota wuduk.

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 60

message user image