Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya seorang doktor, seorang remaja perempuan belum berkahwin datang untuk mendapatkan pil perancang kecemasan kerana telah terlanjur dengan teman lelakinya 2 hari lepas.
Remaja tersebut rasa sangat bersalah, sudah bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut dan akan segerakan perkahwinan apabila cukup umurnya 18 tahun untuk mengelakkan zina.
Ibu remaja tersebut berjanji untuk menjaga anak perempuannya dengan lebih baik.
Jika pil kecemasan tidak diberikan, remaja tersebut mungkin akan mengandung.
Dari segi kesihatan, pil perancang kecemasan digunakan untuk mengelakkan mengandung, berkesan jika digunakan dalam tempoh 72jam selepas bersama. Biasa digunakan oleh doktor pakar untuk mangsa rogol dan wanita berkahwin yang tidak menggunakan kaedah perancang yang lain ketika bersama.
Mohon pendapat mufti.Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan kepada keadaan serta situasi yang dinyatakan, pemberian pil perancang kecemasan dibenarkan memandangkan remaja tersebut telah insaf dan bertaubat. Perkara tersebut tidak dianggap sebagai menggugurkan kandungan kerana tidak ada kepastian yang kandungan telah wujud.
Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan kemaksiatan.
Sekian, terima kasih.