BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya keliru mengenai haid dan istihadah. Saya mempunyai kitaran haid yang agak tidak menentu disebabkan faktor kesihatan (endo). Dilemma saya sekarang ini, saya dapat haid 6-13 Feb (8 hari) kemudiannya mendapati pendarahan pada 20 Feb (hari ke 15 kitaran) yang tidak mencukupi 24 jam/sehari. 20 Feb ini adalah hari kedua puasa. Disebabkan kurang kepastian sama ada haid atau tidak saya membatalkan puasa dan akan qada puasa tersebut. 21 Feb saya tidak mengalami pendarahan jadi saya terus berpuasa seperti biasa. Kemudian pula saya haid semula pada 4 Mar sehingga hari ini (9 Mar). 4 Mar itu adalah 12 hari selepas 20 Feb.

Persoalan saya, yang mana satu haid sebenar? Adakah 20 Feb itu dikira haid dan bermakna tak cukup 15 hari suci pada 4 Mar dan 4 Mar itulah istihadah. Ataupun adakah 20 Feb itu istihadah dan 4 Mar itu adalah kitaran haid saya seperti biasa? Dan bagaimana pula status puasa pada 19 Feb, 20 Feb dan 4-6 Mar? Saya kurang risau atas status puasa 20 Feb dan 4-6 Mar kerana saya memang akan dan perlu qada. Cumanya ada beberapa post di website mufti yang juga mengatakan puasa saya pada 19 Feb tidak sah kerana dikira masih pada waktu haid walaupun tiada darah haid. Jadi saya keliru perlu qada puasa hari tersebut ke tidak. Mohon penjelasan

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, perempuan yang melihat darah haidnya telah kering sebelum sampai tempoh adat kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya mengambil hukum perempuan suci terlebih dahulu tanpa perlu menunggu tempoh tempoh tertentu (seperti menunggu sehari semalam). Justeru, wajib ke atasnya mandi wajib, mengerjakan solat fardu, berpuasa (jika bulan Ramadhan) dan boleh suaminya bersetubuh dengannya dan lain-lain. Adapun begitu, jika darah datang semula sebelum melepasi 15 hari 15 malam (tempoh maksimum haid) maka darah itu dihukumkan sebagai darah haid. Merujuk soalan:

6/2/2026 - 13/2/2026 (7 hari): Darah haid

14/2/2026 - 20/2/2026 (7 hari): Naqa’ (darah berhenti) di celah haid yang tidak melepasi tempoh maksimum haid.

20/2/2026-21/2/2026 (1 hari): haid kerana masih dalam tempoh maksimum haid (hari ke 15). Ini menjadikan tempoh naqa' yang berlaku sebelum ini dianggap sebagai tempoh haid.

21/2/2026 - 4/3/2026 (11 hari): Tempoh suci yang tidak mencukupi tempoh minimum suci. Jadi perlu kepada menyempurnakan baki suci

5/3/2026 - 9/3/2026 (5 hari): 4 hari pertama adalah darah istihadhah bagi mencukupkan baki suci. Darah yang keluar seterusnya adalah kitaran haid yang baru.

Jadi, puasa pada 19 dan 20 Februari 2026 adalah tidak sah kerana dihukumkan sebagai tempoh haid. Manakala 5 Mac hingga 8 Mac merupakan darah istihadhah, puan hendaklah solat dan berpuasa ketika tempoh ini. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 32

message user image