Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya mempunyai persoalan mengenai haid dan istihadah.
Pada bulan Januari, kitaran haid saya adalah pada 20 - 28 haribulan dan hari pertama haid saya terjadi lebih kurang jam 10.00 malam. Pada 4 februari, terdapat cecair kental berwarna coklat keluar dalam jam 4 petang. Jika dikira hari beserta waktu saya mula haid 20/1 - 4/2 saya masih dalam hari ke 15 haid maksima sehingga jam 10.00 malam. Jadi saya mengganggap itu adalah haid. Akan tetapi terdapat bacaan saya di laman web ini yang menerangkan mengenai 24 jam darah perlu keluar berterusan untuk dikira sebagai haid.
Jadi persoalan saya adalah, darah pada 4/2 itu perlu dikira sebagai haid atau istihadah ? Memandangkan jam 10.00 malam saya sudah habis 15 hari maksimum haid (tidak cukup 24 jam darah berterusan).
Jawapan
Secara umumnya, terdapat dua gambaran bagi sekurang-kurang tempoh haid:
Gambaran pertama: darah keluar sehari semalam (24 jam) secara berterusan. Contoh darah keluar bermula jam 10 malam hari Isnin sehingga jam 10 malam hari Selasa.
Gambaran kedua: Darah keluar secara putus-putus tetapi jika digabungkan kesemua darah tersebut dalam tempoh 15 hari 15 malam ke bawah, cukup sehari semalam (24 jam).
Manakala sebanyak-banyak haid adalah 15 hari 15 malam. Merujuk kepada persoalan tempoh darah keluar darah dari 20/1/2026 jam 10 malam hingga 4/2/2026 jam 10 malam mencukupi tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam. Jadi kesemua darah yang keluar dalam tempoh ini dihukumkan haid.
Sekian. Terima kasih.