BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Hukum pertandingan memancing ,..? kebelakangan ini aktiviti pertandingan memancing begitu popular sekali dengan tawaran hadiah yg lumayan.

Begitu pun Ia nya menarik ramai orang utk memasuki pertandingan memancing.Kebanyakan penganjur atau tokey kolam memancing adalah orang melayu (Islam).Secara tak lansung diri saya juga suka memancing dan menyertai pertandingan memancing ini.

Olih itu ada pendapat ustad mengatakan Judi Dan ada jugak tidak judi.judi adalah Haram disisi ugama Islam,jika diketahui pihak kerajaan aktiviti ini bolih ditangkap Dan didakwa.

Minta penjelasan pihak tuan..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, ingin dinayatakan

Dalam konteks pertandingan memancing, hukumnya boleh berbeza bergantung kepada sumber hadiah dan yuran penyertaan:

1. Jika hadiah disediakan oleh pihak ketiga (bukan peserta):

Jika hadiah disediakan sepenuhnya oleh pihak penganjur atau penaja, dan peserta hanya membayar yuran penyertaan untuk menampung kos pengurusan atau sebagai bayaran perkhidmatan (seperti sewa kolam), maka pertandingan ini adalah harus dan tidak dianggap judi. Yuran penyertaan dalam kes ini adalah bayaran untuk menyertai aktiviti yang dibenarkan, bukan pertaruhan.

2. Jika hadiah dikumpulkan daripada yuran penyertaan peserta:

Jika hadiah yang ditawarkan kepada pemenang adalah hasil daripada pengumpulan yuran penyertaan daripada semua peserta, maka pertandingan ini boleh jatuh ke dalam kategori judi. Ini kerana setiap peserta menyumbang kepada dana hadiah dengan harapan untuk memenangi keseluruhan atau sebahagian besar daripadanya, dan jika kalah, wang mereka akan hilang.

Kita semua sedia maklum antara ciri-ciri judi itu adalah sekiranya duit atau yuran pernyertaan digunakan sebagai habuan atau hadiah kepada pemenang. Tanggungjawab memastikan sumber kewangan hadiah adalah sepenuhnya terletak pada pihak penganjur. Penganjur hendaklah sedar bahawa hukum menggunakan yuran peserta sebagai hadiah untuk pemenang adalah TIDAK  dibenarkan dalam Islam, kerana ia mengandungi unsur pertaruhan yang melibatkan kerugian kepada peserta yang kalah, bergantung kepada nasib semata-mata. Sebagai alternatif, pihak penganjur disarankan mendapatkan penajaan bagi menyediakan hadiah kepada pemenang. Namun begitu, yuran peserta boleh digunakan untuk menampung kos yang telah dikeluarkan serta keperluan pentadbiran pertandingan, asalkan tidak wujud unsur perjudian atau pertaruhan dalam penggunaannya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah ayat 90 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 58

message user image