BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya tentang darah yang keluar kurang dari tempoh minima suci (15 hari). Contohnya, saya haid pada 1hb sehingga 15hb (selama 15 hari). Selepas itu, tempoh suci saya adalah selama 12 hari. Pada 28hb, ada darah keluar. Saya ada baca di laman web mufti wilayah sebelum ini, jika darah keluar kurang dari 15 hari itu dikira sebagai darah fasad dan wajib cukupkan kiraan suci sehingga hari ke 15. Namun, bila saya tengok ciri-ciri darah yang keluar (dari segi warna dan bau) sama dengan darah yang keluar ketika saya haid. Persoalannya, adakah ini dianggap sebagai darah fasad ataupun darah haid? Untuk waktu ini saya berpuasa dan tunaikan solat seperti biasa kerana ikut pandangan yang saya baca sebelum ini. Cuma takut jika ini dikira sebagai darah haid dan saya berdosa sebab beribadah. Mohon pencerahan daripada ustaz. 

Terima kasih ustaz. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Darah haid ialah darah yang keluar sekurang-kurangnya mencukupi 24 jam dan paling lama ialah 15 hari 15 malam. Untuk mengetahui darah yang datang itu ialah haid, maka wanita itu perlu melihat sebelum darah itu datang adakah dia telah melalui tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari. Jika ya, maka darah yang baru datang itu bolehlah dikira haid jika ternyata cukup 24 jam. Maksud 24 jam itu ialah sama ada datang berterusan selama 24 jam atau terputus-putus tetapi apabila dicampurkan himpunan masanya maka ia cukup 24 jam asalkan tidak melepasi 15 hari. 

Manakala keadaan yang dikira darah istihadah pula, pertama darah itu tidak cukup 24 jam. Yakni apabila darah yang datang itu setelah melepasi lima belas hari dari hari pertama dan setelah dicatat lama masanya tidak cukup 24 jam, maka ia adalah darah istihadah. Kedua, darah yang keluar ketika tempoh minimum suci (15 hari 15 malam) belum cukup, maka ia dikira istihadhah.

Merujuk soalan yang diajukan, darah yang keluar pada 28hb itu adalah darah istihadhah kerana belum melepasi tempoh minimum suci walaupun padanya mempunyai ciri-ciri darah haid dari segi warna dan bau. Maka saudari diwajibkan untuk teruskan solat dan berpuasa.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 38

message user image