BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum. saya ada soalan. situasinya, saya baru berkahwin dengan suami iaitu duda. perkahwinan baru dua tahun. dia kurang menjalankan rukun islam dengan baik. maksudnya solat jarang-jarang, tidak puasa juga. dan saya ada bertanyakan padanya, sudah tunaikan zakat fitrah atau belum. lalu saya dimarahi kerana seolah-olah saya mempertikai tentang dia tidak menjalankan tanggungjawabnya.sedangkan niat saya bertanya, hanya sekadar mengingatkan.saya juga ragu-ragu jika dia ada membayar atau tidak, memandangkan, rukun yang lain pun dia tidak dijalankan dengan baik.jadi apa status zakat untuk diri saya,jika saya ragu-ragu samada dibayar atau tidak.

harap pihak mufti dapat membantu saya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, zakat fitrah adalah kewajipan ke atas setiap Muslim yang berkemampuan sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda, merdeka atau hamba. Ia wajib ditunaikan sebelum solat Aidilfitri. Hal ini dijelaskan dalam Mawsu'ah Fiqhiyyah Kuwaytiyyah seperti berikut:

زكاة الفطر واجبة على كل مسلم حر أو عبد ذكر أو أنثى صغير أو كبير إذا كان يملك صاعا فاضلا عن قوته وقوت عياله يوم العيد وليلته

Maksudnya: Zakat fitrah wajib ke atas setiap Muslim, sama ada merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kecil atau besar, jika dia memiliki satu sa' yang lebih daripada makanan untuk dirinya dan keluarganya pada hari raya dan malamnya.

Merujuk kepada soalan, seorang ketua keluarga (suami atau bapa) bertanggungjawab membayar zakat fitrah untuk dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya, termasuk isteri dan anak-anak. Namun, jika suami tidak menunaikan kewajipan ini maka isteri boleh menunaikannya untuk dirinya sendiri. Ini kerana kewajipan zakat fitrah adalah fardhu ain (kewajipan individu) ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat.

Memandangkan terdapat keraguan sama ada suami puan telah melaksanakan zakat fitrah untuk pihak dirinya dan pihak puan, maka adalah lebih baik dan selamat agar puan menunaikan zakat fitrah bagi pihak diri puan sendiri sebagai memenuhi kewajipan zakat yang telah difardhukan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image