BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Jika seorang wanita pernah melakukan zina dan melahirkan seorang anak lelaki. Tetapi disebabkan wanita itu masih dibawah umur anak tersebut telah diberikan kepada keluarga angkat. Wanita itu telah bertaubat dan berusia 40 tahun kini ingin berkahwin. Tetapi pihak lelaki hanya mengetahui setatus wanita berkenaan sebagai anak dara. Adakah sah perkahwinan wanita berkenaan jika dia mengaku sebagai anak dara. Apakah borang nikah yang perlu diisi wanita berkenaan. Juga adakah borang itu dan setatus wanita itu harus diketahui oleh pihak lelaki. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan saudari :

1. Pada asasnya, perkahwinan wanita tersebut adalah sah di sisi syarak sekiranya semua rukun dan syarat nikah dipenuhi, walaupun dia pernah melakukan zina dan pernah melahirkan anak hasil perzinaan sebelum ini. Seorang wanita yang pernah berzina tetapi tidak pernah berkahwin tetap dianggap belum pernah berkahwin. Oleh itu, dari sudut status perkahwinan, dia bukanlah seorang janda.

2. Walau bagaimanapun, jika borang permohonan perkahwinan atau dokumen rasmi meminta maklumat yang lebih khusus seperti:

  • Pernah berkahwin atau tidak;
  • Pernah melahirkan anak atau tidak;
  • Mempunyai tanggungan atau tidak;

maka setiap maklumat hendaklah diisi dengan jujur, tepat dan benar mengikut kehendak soalan yang dikemukakan. Memberikan maklumat palsu dalam dokumen rasmi adalah satu kesalahan dari segi Enakmen Undang-Undang Keluarga Negeri, lebih-lebih lagi apabila melibatkan urusan dan rekod rasmi kerajaan.

3. Kebiasaannya, permohonan perkahwinan pihak perempuan dilakukan setelah proses permohonan pihak lelaki diselesaikan di kariah dan daerah tempat tinggalnya. Oleh itu, dalam sesetengah keadaan, latar belakang wanita tersebut mungkin tidak diketahui oleh pihak lelaki melalui proses permohonan tersebut.

Untuk makluman saudari, pada prinsipnya seseorang yang telah melakukan maksiat kemudian bertaubat dengan taubat yang sebenar tidak dituntut untuk mendedahkan dosa silamnya kepada orang lain. Justeru, wanita tersebut tidak wajib memberitahu bakal suaminya bahawa dia pernah melakukan zina sekiranya perkara itu telah berlaku pada masa lalu, telah ditinggalkan, dan dia telah bertaubat dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT.

Namun demikian, jika terdapat perkara yang boleh memberi kesan langsung kepada hak-hak pasangan atau menimbulkan implikasi hukum selepas perkahwinan, maka maklumat yang berkaitan hendaklah dijelaskan dengan cara yang berhikmah bagi mengelakkan berlakunya penipuan, pertikaian atau kemudaratan pada masa hadapan.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 16

message user image