Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin pencerahan.
Saya dan suami bertengkar dan dia kemas barangnya untuk pergi dari rumah. Sebelum-sebelum ini jika dia ingin pergi saya akan menghalang dia dengan tarik tangan DLL. Jadi dia ada cakap "If you touch me jatuh talak 3" dengan niat saya tidak pegang dan halang dia pergi. Saya pun terus berlalu pergi.
Masa dia ingin keluar tu dia tak izinkan data keluar dan saya tanya Kenapa dia Boleh tinggalkan rumah tapi saya perlu duduk rumah dan dia cakap "kalau tanya lagi talak satu".
Kemudia dia cakap juga "Kalau keluar rumah jatuh talak satu. Untuk hari ni."
Saya cakap macam mana saya nak beli makanan untuk anak dan sebagainya dan dia cakap boleh keluar selagi dalam kompleks kondominium.
Setelah itu dia pergi ambil kunci dan saya telah terlupa Lafaz dia tadi dan tanya "Kenapa saya kena duduk rumah?" Dan dia cakap kepada saya "apa yang saya kata pasal jangan tanya tadi.” Jadi adakah ini dikira melanggar taklik untuk tidak bertanya lagi?
Pada masa yg sama semasa bercakap saya terlupa dan ada sentuh lengan dia tapi bukan untuk menghalang dia pergi. Jatuh pula kah taklik yang pertama tadi?
Kemudian semasa suami keluar saya berdiri di luar pintu rumah di rak kasut tetapi masih ada pintu pagar jadi masih dalam kawasan rumah jadi saya tak tahu adakah itu dikira melanggar taklik.
Malam tu dia balik rumah dan ajak saya keluar makan dan saya terlupa tentang taklik yang tidak boleh keluar rumah pada hari itu dan saya keluar makan dengan dia.
Setelah itu suami menyatakan semua Lafaz dia lakukan adalah tanpa niat untuk menceraikan tapi hanya untuk mengugut saya mendengar kata. Dia juga yakin untuk semua situasi yang terjadi talak tidak jatuh.
Tapi disebabkan saya ada masalah OCD dan was-was dia pun melafazkan rujuk terhadap saya.
Jadi adakah situasi di mana saya terlupa dan bertanya kepada dia setelah dilarang tu dikira perlanggaran taklik pertama? Dan seterusnya masa saya pegang lengan dan keluar bersama tu adakah dikira sebagai talak yang jatuh juga kerana ia terjadi sebelum dia melafazkan rujuk? Jumlah talak di dalam kes begini akan dikira berapa?
Saya sudah bercadang untuk melakukan pengesahan Lafaz dah rujuk tapi ingin mohon pencerahan untuk tahu status hubungan kami dan jumlah talak di sudut hukum. Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Berdasarkan fakta yang puan kemukakan, terdapat beberapa lafaz taklik yang berbeza dan setiap satu perlu dinilai secara berasingan berdasarkan lafaz yang digunakan, maksud sebenar suami ketika melafazkannya, serta keadaan yang mengiringi lafaz tersebut. Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa penentuan muktamad sama ada sesuatu talak telah jatuh atau tidak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana ia memerlukan penelitian terhadap lafaz, niat, konteks kejadian serta keterangan daripada kedua-dua pihak.
1. Lafaz: “If you touch me jatuh talak 3”
Pada zahirnya, lafaz ini merupakan taklik yang digantungkan kepada suatu syarat, iaitu “menyentuh”. Namun, dalam memahami syarat tersebut, maksud dan niat suami ketika melafazkannya adalah amat penting.
Berdasarkan keterangan puan bahawa sebelum ini puan sering memegang atau menarik suami untuk menghalangnya daripada keluar rumah, lafaz tersebut berkemungkinan diucapkan dengan tujuan untuk menghalang puan daripada melakukan perbuatan tersebut. Sekiranya benar maksud suami ketika itu ialah “jangan sentuh aku untuk menghalang aku pergi”, maka sentuhan yang berlaku kemudian kerana terlupa atau atas tujuan lain yang tidak berkaitan dengan menghalangnya keluar boleh menjadi faktor yang kuat bahawa syarat yang dimaksudkan oleh suami tidak berlaku sebagaimana yang diniatkannya.
2. Lafaz: “Kalau tanya lagi, talak satu”
Lafaz ini juga merupakan taklik yang digantungkan kepada suatu syarat, iaitu puan "bertanya lagi" mengenai perkara yang sama. Jika selepas lafaz tersebut diucapkan, puan benar-benar mengulangi pertanyaan yang dimaksudkan oleh suami, maka isu sama ada syarat tersebut telah berlaku perlu diteliti dengan lebih lanjut berdasarkan konteks dan maksud sebenar lafaz tersebut.
3. Lafaz: “Kalau keluar rumah jatuh talak satu. Untuk hari ini.”
Lafaz ini juga perlu difahami berdasarkan maksud sebenar yang dikehendaki oleh suami. Berdasarkan keterangan puan:
Keadaan-keadaan ini menunjukkan bahawa suami sendiri telah memberikan kelonggaran terhadap larangan tersebut dan tidak berpegang kepada larangan keluar rumah secara mutlak. Dalam perbahasan fiqh, tafsiran dan penjelasan yang diberikan oleh pihak yang melafazkan taklik mempunyai nilai yang signifikan dalam menentukan sama ada syarat yang dimaksudkan benar-benar telah berlaku atau sebaliknya.
4. Tentang lafaz rujuk
Lafaz rujuk yang diucapkan oleh suami selepas kejadian tidak semestinya menjadi bukti bahawa talak telah berlaku. Dalam sesetengah keadaan, terdapat pasangan yang melafazkan rujuk semata-mata sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang atau ragu-ragu tentang status talak.
Dari sudut hukum, sekiranya pada asalnya tiada talak yang sah berlaku, maka lafaz rujuk tersebut tidak memberikan apa-apa kesan kerana ikatan perkahwinan masih kekal sebagaimana sediakala.
Kesimpulannya, memandangkan isu pengesahan talak dan taklik berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, puan dan suami disarankan untuk segera mengemukakan permohonan pengesahan lafaz di Mahkamah Syariah yang berdekatan bagi mendapatkan keputusan rasmi daripada pihak yang berautoriti.
Tambahan pula, puan sendiri memaklumkan mempunyai masalah was-was atau OCD. Oleh itu, mendapatkan pengesahan rasmi daripada Mahkamah Syariah adalah langkah yang paling tepat bagi menghilangkan keraguan dan menentukan status sebenar perkahwinan serta bilangan talak (jika ada) berdasarkan penelitian terhadap keseluruhan fakta dan keterangan kedua-dua pihak.
Sekian terima kasih