BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin mendapatkan pandangan hukum berkaitan situasi berikut:

Saya dan isteri mempunyai seorang anak berusia 6 tahun, dan isteri saya kini sedang mengandung sekitar 6 minggu (44 hari). Namun, kami sedang menghadapi cabaran dari segi kehidupan harian, di mana kedua-dua kami bekerja dan isteri pulang agak lewat, menyebabkan urusan penjagaan anak dan pengurusan rumah menjadi agak terhad dan memenatkan. Selain itu, kami juga sedang berhadapan dengan kekangan dari segi kewangan serta tekanan fizikal dan emosi dalam menguruskan kehidupan seharian.

Dalam keadaan ini, kami berasa bimbang tentang kemampuan untuk menambah tanggungjawab menjaga seorang lagi anak pada masa ini.

Soalan saya:
Apakah pandangan hukum jika seseorang mempertimbangkan pengguguran kandungan atas sebab kekangan penjagaan anak, keletihan, tekanan kehidupan harian, dan masalah kewangan seperti yang dinyatakan di atas?

Mohon pencerahan dan nasihat daripada pihak tuan/puan.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Hukum pengguguran kandungan dalam Islam adalah isu yang kompleks dan memerlukan penelitian yang mendalam terhadap keadaan tertentu. Secara umumnya, Islam mengharamkan pengguguran kandungan kerana ia dianggap sebagai perbuatan membunuh jiwa yang telah wujud, walaupun pada peringkat awal pembentukan janin. Namun, terdapat beberapa pengecualian yang dibenarkan oleh syarak, terutamanya jika melibatkan kemudaratan kepada ibu. Ini kerana janin dianggap sebagai makhluk yang mempunyai hak untuk hidup sejak awal pembentukannya. Imam Al-Ghazali menganggap pengguguran sebagai jenayah terhadap makhluk yang telah wujud, dan jenayah ini bertambah berat mengikut peringkat perkembangan janin.

Memetik daripada keptusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 pada 7 Mac 1990 menyatakan bahawa :

(1) Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.

(2) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami dan isteri.

(3) Ijmak Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Berdasarkan sebab-sebab yang  dinyatakan seperti kekangan penjagaan anak, keletihan, tekanan kehidupan harian, dan masalah kewangan, walaupun ia adalah cabaran yang besar, secara umumnya tidak dianggap sebagai uzur syar'i yang membenarkan pengguguran kandungan dalam Islam.

Kesukaran yang tuan hadapi adalah cabaran kehidupan yang biasa dihadapi oleh ramai pasangan. Islam menggalakkan kesabaran dan tawakal kepada Allah dalam menghadapi ujian. Allah SWT berfirman bahawa Dia tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image