Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah,
Mohon bantuan kiraan haid.
Kefahaman lama:
1. Cukup 15 hari (malam hari ke-15) terus mandi walaupun belum genap 24 jam.
(Eg; 1hb: 6AM Haid - 15hb: 9PM mandi wajib)
Kadang jika hari 16 masih kuning, saya tetap solat.
2. Jika tempoh suci kurang 13 hari lalu keluar darah, saya terus anggap haid.
Soalan (bertarikh 28 Februari 2026):
1. Jika sebelum ini tersilap kira tempoh suci (kurang 13 hari) sejak baligh, bagaimana hendak tentukan semula tarikh haid sebenar? Kiraan perlu reset dari haid pertama pada September 2025, Januari 2026 atau Februari 2026?
Saya mahu pastikan tarikh haid akan datang dengan yakin bersama Ustaz/Ustazah.Berikan kiraan yang sebenar untuk kes saya secara tepat untuk saya buat rujukan.
2. Bagaimana kira ganti solat/puasa jika silap kira tempoh suci dan juga mandi wajib awal (<24 jam)? Saya tak pasti nak mula dari mana.
Mungkin ganti semua dari Baligh? - contoh (365 hari x 5 waktu solat x 50 tahun)?
Rekod yang ada bersama waktu:-
|
Tarikh |
Masa / Nota |
|
03/09/2025 |
11:00 PM |
|
17/09/2025 |
Tamat |
|
18/09/2025 |
Mandi wajib |
|
28/09/2025 |
Mula 9:15 PM |
|
12/10/2025 |
Tamat |
|
13/10/2025 |
Mandi wajib |
|
25/10/2025 |
Mula 9:00 AM |
|
08/11/2025 |
Tamat |
|
09/11/2025 |
Mandi wajib |
|
23/11/2025 |
Mula 1:00 PM |
|
07/12/2025 |
Tamat |
|
08/12/2025 |
Mandi wajib |
|
20/12/2025 |
Mula 11:00 AM |
|
03/01/2026 |
Tamat |
|
04/01/2026 |
Mandi wajib |
|
15/01/2026 |
Mula 8:30 AM |
|
30/01/2026 |
Mandi wajib |
|
10/02/2026 |
9:00 am Merah |
|
11/02/2026 – 13/02/2026 |
Merah |
|
14/02/2026 – 18/02/2026 |
Merah Coklat |
|
19/02/2026 – 28/02/2026 |
Kuning |
Mohon pencerahan Ustaz/Ustazah. Terima kasih.
Jawapan
Secara umumnya, mencatat tarikh dan waktu (masa) darah keluar bagi wanita adalah suatu yang sangat penting untuk memastikan kiraan tempoh darah yang keluar adalah memenuhi syarat asas haid. Ia juga penting kerana jika berlaku darah yang keluar menyalahi adat seperti darah keluar secara putus-putus, darah keluar berterusan melebihi tempoh haid dan sifat serta warna darah yang berubah-ubah dapat ditentukan sama ada ia darah haid atau darah istihadhah.
Sebanyak-banyak darah haid adalah 15 hari 15 malam. Jika darah yang keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid, berlaku percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Ia boleh ditentukan dengan dua kaedah iaitu kaedah tamyiz (beza warna darah) dan kaedah kedua iaitu kaedah adat haid sebelumnya. Adapun kebiasaan haid bagi kebanyakan wanita adalah 7 hingga 8 hari. Jika darah telah berhenti hendaklah terus mandi wajib dan solat seperti biasa tanpa perlu menunggu 24 jam.
Manakala sekurang-kurang tempoh suci antara dua haid adalah 15 hari 15 malam. Jika darah keluar semula tidak mencukupi tempoh minimum suci 15 hari 15 malam, maka perlu kepada menyempurnakan hari baki suci.
Merujuk kepada persoalan:
Rujuk kepada adat haid paling terdekat. Jika memang setiap bulan kiraan suci yang puan buat hanya 13 hari suci, jadi 2 hari yang tertinggal setiap bulan perlu di qada’ semula solat ketika itu. Sebagai langkah berhati-hati hendaklah mengira dari umur baligh jika kiraan ini memang dibuat semenjak mula haid (baligh).
Begitu juga bagi puasa dan mandi wajib, rujuk jawapan soalan pertama.
Sebagaimana catatan, penentuan haid atau istihadhah adalah seperti berikut:
3/9/2025 - 17/9/2025 : 14 hari keluar darah (3 hari merah, 6 hari merah coklat dan 5 hari kuning) kesemuanya dihukumkan sebagai darah haid walaupun berbeza sifat kerana darah yang keluar masih dalam tempoh maksimum haid 15 hari. Apabila darah telah kering iaitu suci daripada haid (setelah diyakini bersih dan tiada kesan darah pada kapas) hendaklah terus mandi wajib tanpa perlu menunggu 24 jam.
18/9/2025 - 28/9/2025: 11 hari suci iaitu tidak memenuhi syarat asas suci 15 hari, jadi memerlukan kepada menyempurnakan baki suci lagi 4 hari.
29/9/2025 - 12/10/2025: Darah keluar selama 14 hari. 4 hari pertama dihukumkan sebagai istihadhah bagi menyempurnakan baki suci, manakala 10 hari adalah kitaran haid yang baharu.
13/10/2025 - 25/10/2025: 13 hari suci tidak memenuhi syarat asas suci 15 hari, jadi memerlukan kepada menyempurnakan baki suci 2 hari.
26/10/2025 - 8/11/2025: 14 hari darah keluar selama 14 hari. 2 hari pertama dihukumkan sebagai darah istihadhah bagi menyempurnakan baki suci, manakala 12 hari adalah kitaran haid yang baharu.
9/11/2025 - 23/11/2025: 15 hari suci adalah memenuhi syarat asas suci.
24/11/2025 - 7/12/2025: 14 hari merupakan darah haid iaitu darah keluar tidak melebihi tempoh maksimum haid
8/12/2025 - 20/12/2025: 13 hari suci tidak memenuhi syarat asas suci 15 hari, jadi memerlukan kepada menyempurnakan baki suci 2 hari.
21/12/2025 - 3/1/206: 13 hari darah keluar. 2 hari pertama merupakan darah istihadhah, manakala 11 hari ialah kitaran darah haid baharu.
4/1/2026 - 15/1/2026: 12 hari suci tidak memenuhi syarat asas suci 15 hari, jadi memerlukan kepada menyempurnakan baki suci 3 hari.
16/1/2026 - 30/1/2026: 15 hari darah keluar. 3 hari pertama merupakan darah istihadhah bagi menyempurnakan baki suci. 12 hari merupakan kitaran haid yang baharu.
31/1/2026 - 10/2/2026: 11 hari suci tidak memenuhi syarat asas suci 15 hari, jadi memerlukan kepada menyempurnakan baki suci 4 hari.
11/2/2026 - 28/2/2026: 18 hari keluar darah. 4 hari pertama merupakan darah istihadhah bagi menyempurnakan baki suci, manakala 14 hari merupakan kitaran darah haid yang baharu.
Begitu juga kiraan pada bulan seterusnya iaitu perlu memenuhi syarat asas haid dan suci bagi menentukan darah yang keluar haid atau istihadhah.
Sekian. Terima kasih.