Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, pihak Mufti.
Saya ingin memohon penjelasan berkaitan isu kitaran haid saya yang agak tidak menentu, khususnya dalam menentukan hukum berkaitan ibadah solat dan puasa.
Pada 29 Februari, saya mengalami keadaan di mana terdapat tompokan cecair berwarna coklat gelap pekat serta cebisan kecil berwarna merah jambu pudar yang keluar selama kira-kira tiga hari. Berdasarkan maklumat yang saya peroleh melalui carian internet dan juga pandangan orang sekeliling, saya difahamkan bahawa selagi mana tompokan tersebut masih keluar, ia dianggap sebagai haid. Oleh itu, saya tidak menunaikan solat dan tidak berpuasa sepanjang tempoh tersebut.
Namun begitu, pada 8 Mac, darah haid saya keluar dengan lebih jelas seperti kebiasaan, dan sekali lagi saya tidak dapat berpuasa.
Sehubungan itu, saya ingin memohon penjelasan daripada pihak Mufti:
1. Adakah tompokan coklat gelap dan cebisan berwarna merah jambu yang keluar sebelum ini boleh dianggap sebagai haid, atau ia sebenarnya bukan darah haid?
2. Bagaimanakah cara untuk membezakan antara tanda permulaan haid dengan cecair biasa (istihadhah atau selainnya) supaya saya dapat memastikan sama ada saya perlu menunaikan solat dan berpuasa ataupun tidak?
3. Dalam keadaan seperti yang saya alami, bagaimanakah saya perlu menentukan status ibadah saya agar dapat melaksanakannya dengan yakin dan tidak tersalah hukum?
Saya telah cuba mendapatkan maklumat melalui beberapa laman web mufti negeri yang berbeza, namun terdapat sedikit perbezaan penjelasan yang membuatkan saya masih keliru.
Saya amat menghargai sekiranya pihak Mufti dapat memberikan panduan agar saya dapat melaksanakan ibadah dengan lebih yakin dan tepat menurut hukum syarak.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yag diajukan, perkara asas yang perlu difahami adalah:
Tempoh Haid
Minimum: Sehari semalam (24 jam)
Maksimum: 15 hari 15 malam
Kebiasaan: 6 atau 7 hari
Tempoh Suci (antara dua haid)
Minimum: 15 hari 15 malam
Maksimum: Tiada had
Kebiasaan: 23 atau 24 hari
1. Ya, tompokan cecair berwarna coklat gelap pekat serta cebisan kecil berwarna merah jambu pudar yang puan alami tersebut boleh dihukum sebagai darah haid. Dalam fiqh, warna darah haid tidak terhad kepada warna merah semata-mata bahkan termasuk juga warna seperti coklat, keruh atau kekuningan selagi mana ia keluar dalam tempoh yang berkemungkinan haid.
2. Penjelasan cara membezakan anatara darah haid dan istihadhah serta kewajipan terhadap ibadah solat, boleh difahami seperti berikut:
Darah haid ialah darah yang keluar sekurang-kurangnya mencukupi 24 jam dan paling lama ialah 15 hari 15 malam. Untuk mengetahui darah yang datang itu ialah haid, maka wanita itu perlu melihat sebelum darah itu datang adakah dia telah melalui tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari. Jika ya, maka darah yang baru datang itu bolehlah dikira haid jika ternyata cukup 24 jam. Maksud 24 jam itu ialah sama ada datang berterusan selama 24 jam atau terputus-putus tetapi apabila dicampurkan himpunan masanya maka ia cukup 24 jam asalkan tidak melepasi 15 hari.
Contoh mengira darah yang terputus-putus sebagai haid ialah seperti berikut:
Katakanlah hari pertama darah datang selama lima jam kemudian berhenti. Maka ia tidak boleh dikira haid lagi kerana belum cukup 24 jam. Tetapi dia hendaklah mencatit bahawa darah telah datang selama lima jam. Pada waktu malamnya atau mana-mana waktu selagi belum melepasi 15 hari datang pula darah selama 10 jam kemudian berhenti, maka dia hendaklah mencatitkannya. Bererti jumlah masa darahnya setakat ini ialah 15 jam. Belum lagi cukup untuk haid. Esoknya darah datang lagi selama 10 jam kemudian berhenti. Maka ini bererti jumlah masa darahnya telah mencapai 25 jam. Maka telah mencukupi syarat haid iaitu sekurang-kurangnya 24 jam. Apabila telah diketahui cukup 24 jam maka semua masa sejak dari hari pertama darah itu datang hendaklah dianggap masa haid termasuklah masa-masa yang darah itu tidak ada. Masa yang kosong dari darah itu juga dianggap masa haid kerana ia dikepung (berada di celah-celah) antara darah-darah haid.
Bagaimana dengan solatnya semasa tempoh darah itu terputus-putus?
Semasa darah itu ada, anggaplah ia sebagai haid walaupun belum cukup 24 jam, oleh itu jangan solat semasa darah itu ada. Bila darah berhenti dan belum cukup 24 jam, anggaplah haid tidak jadi oleh itu hendaklah solat. Bila darah telah cukup 24 jam maka solat yang telah dilakukan semasa darah berhenti sebelum itu anggaplah batal kerana ia dilakukan semasa tempoh haid, tetapi tidak berdosa solat semasa tempoh itu kerana belum tahu ia adalah masa haid. Bila telah cukup 24 jam, kemudian darah itu berhenti pula tetapi belum melepasi tempoh 15 hari dari hari pertama maka anggaplah haid telah berhenti, maka bolehlah mandi dan solat. Kemudian selepas itu datang pula darah dalam lingkungan 15 hari ke bawah anggaplah haid masih ada dan mandi serta solatnya sebelum itu adalah tidak sah. (Tetapi tetap mendapat pahala kerana menjunjung perintah, bukannya pahala solat dan mandi). Begitulah seterusnya yang dilakukan semasa ada darah dan semasa darah berhenti selagi belum melepasi 15 hari.
Bagaimana untuk menentukan darah istihadah pula?
Ada beberapa keadaan yang dikira darah itu istihadah:
1. Darah itu tidak cukup 24 jam. Yakni apabila darah yang datang itu setelah melepasi 15 hari dari hari pertama dan setelah dicatit lama masanya maka ia tidak cukup 24 jam, maka ia adalah darah istihadah.
2. Darah yang keluar melebihi tempoh masa 15 hari iaitu sebanyak-banyak haid. Apabila darah masih ada pada hari ke 16 maka haid telah bercampur dengan istihadah. Pada hari ke 16 hendaklah mandi dan solat. Kemudian untuk menentukan berapa harikah sebenarnya darah haidnya dan yang mana pula darah istihadahnya ada dua cara.
a. Cara pertama ini perlu dipilih dahulu jika mampu. Iaitu perlulah dilihat kepada perbezaan bentuk-bentuk darah. Jika darah-darah itu ada yang kuat dan ada yang lemah (contohnya seperti lima hari pertama darahnya adalah berwarna hitam manakala baki hari-hari seterusnya berwarna merah) maka darah hitam dikira lebih kuat dari darah merah. Oleh itu darah hitam sahaja dikira sebagai haid. Manakala darah merah itu dikira sebagai istihadah dan sekiranya darah merah itu berterusan beberapa bulan sekalipun selepas itu maka ia masih dikira istihadah sehinggalah datang darah hitam semula barulah dikira haid baru. Ini kerana pengecaman darahnya berdasarkan kepada bentuk darah yang kuat. Jika tidak jelas perbezaan bentuk darah maka hendaklah beralih cara yang kedua iaitu:
b. Pandukan kepada adat haidnya yang terakhir. Sebagai contoh sebelum terjadinya gejala istihadah ini haid normalnya sebelum ini ialah 7 hari manakala suci selepasnya ialah 20 hari, maka untuk kali ini jadikan 7 hari yang pertama sahaja sebagai haid, manakala 20 hari selepasnya adalah suci (walaupun masih ada darah, dan inilah yang dikira darah istihadah). Selepas 20 hari itu jika masih ada darah maka ia dikira sebagai period haid yang baru pula.
3. Dalam keadaan seperti yang puan alami, cara yang paling membantu ialah dengan memahami maksud serta ciri-ciri darah haid dan istihadhah di samping mencatat kitaran haid secara teratur. Puan disarankan untuk merekodkan tarikh bermula dan berakhirnya haid serta tempoh suci dalam kalendar sebagai rujukan pada masa akan datang. Melalui catatan tersebut, puan akan lebih mudah mengenal pasti pola kitaran haid seterusnya dapat membezakan sama ada darah yang keluar itu adalah darah haid atau darah istihadhah. Dengan cara ini, puan dapat menentukan status ibadah seperti solat dan puasa dengan lebih yakin serta mengelakkan kekeliruan dalam menentukan hukum.
Sekian, terima kasih.