BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Kemusykilan saya, sejak berhenti perancang keluarga,haid menjadi tidak teratur (Kitaran menjadi sangat pendek). 7 hari haid, kemudian suci 7 hari selepas itu, dan hari seterusnya keluar darah lagi selama 7 hari, dan begitu lah seterusnya. Kiranya untuk 1 kitaran haid saya cuma mengambil masa 14 hari (Hari pertama haid hingga hari terakhir suci). Hal ini telah terjadi lama, sejak 5 bulan yang lalu setelah berhenti ambil perancang keluarga. Semua darah yang keluar juga mempunyai sifat yang sama dengan haid - berwarna gelap, berbau kuat.

Persoalan saya, bagaimana cara yang betul untuk saya membezakan haid dan istihadah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, sebanyak-banyak haid adalah 15 hari 15 malam dan sekurang-kurang haid ialah sehari semalam atau 24 jam. Manakala tempoh minimum suci adalah 15 hari 15 malam. 

Berdasarkan maklumat yang diberikan: 

7 hari darah keluar (hari 1-7) 

7 hari darah tidak keluar (hari 8-14)

7 hari darah keluar (hari 15-21), apabila darah yang keluar melebihi 15 hari hari pertama darah keluar, ini menunjukkan telah berlaku percampuran antara darah haid dan darah istihadhah.

Bagi menentukan perbezaan darah haid atau Istihadhah, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah, iaitu perbezaan warna darah (kaedah Tamyiz) dan kaedah Adat kebiasaan: 

1) Kaedah tamyiz (membezakan) jenis darah dengan menentukan darah yang kuat dan lemah melalui perbezaan warna darah tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid sebaliknya darah lemah adalah darah Istihadah. Jika tidak dapat dibezakan darah, boleh menggunakan kaedah kedua;

2) Kaedah adat. Kaedah ini adalah dengan melihat adat kebiasaan tempoh haid puan pada bulan yang paling hampir atau bulan yang tiada masalah kitaran haid tidak teratur yang paling hampir. Sebagai contoh, tempoh kebiasaan haid adalah 7 hari, dan suci 23 hari. Maka haid puan hanya 7 hari selebihnya adalah darah istihadhah.

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 27

message user image