Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, maaf menganggu ya,
Saya ada masalah tentang haid saya dimana,
Kitaran bulanan haid saya adalah 28 ke 30 hari namun tempoh haid saya lama iaitu 15 hari setiap bulan. Kadang- kadang ada darah istihadah dalam 2 hari sahaja sebelum kering sepenuhnya. Haid saya pada bulan Februari lambat mula, tarikhnya dari 24/2 hingga 10 Mac.
Tetapi, pada 21 Mac, terdapat darah keluar. Darahnya bersifat darah haid dan saya mengalami sakit yang selalu kena waktu datang haid tetapi tempoh hari suci saya belum lengkap 15 hari. Jadi adakah darah yang keluar dianggap darah istihadah atau dikira darah haid? Saya juga keliru dan risau tentang boleh solat atau tidak.
Terima kasih banyak banyak.
Jawapan
Merujuk kepada soalan, darah yang keluar pada 24/2/2026 hingga 10/3/2026 (14 hari) merupakan darah haid kerana memenuhi syarat asas haid iaitu tidak melebihi tempoh maksimum haid, 15 hari. Manakala darah yang keluar selepas tamat tempoh haid dalam tempoh minimum 15 hari tempoh suci adalah darah istihadhah. Oleh itu, tempoh suci bermula 11/3/2026 hingga 21/3/2026 (10 hari) memerlukan lagi 5 hari bagi menyempurnakan baki suci. Jadi darah yang keluar pada 21/3/2026 adalah darah istihadhah dan puan hendaklah solat seperti biasa.
والله أعلم بالصواب
Sekian. Terima kasih.