BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, adakah berdosa seorang isteri meminta cerai kerana suami pemalas? Saya sudah 8tahun berkahwin dan ada anak 3. Dalam semua hal saya yang perlu bertanggungjawab untuk menyediakan segalanya, memikirkan keperluan anak, suami hanya balik kerja tidur, bangun semua sudah tersedia. Saya terlalu tertekan dan perlu berjumpa pakar kerana kadang-kadang ada rasa ingin mati kerana terlalu penat dengan perkahwinan yang rupanya isteri macam kuli. Ketika saya tidak sihat, suami kata saya pemalas dan dia minta saya sakit lagi bertambah teruk. Sikap suami saya telah buat saya juga menjadi isteri dan ibu yang derhaka. Saya tertekan sampai kadang kala mengamuk macam orang yang tiada iman. Saya rasa mungkin bercerai jalan terbaik agar saya tidak lagi berbuat dosa.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, perkahwinan itu dibina atas dasar tanggungjawab dan amanah serta mawaddah wa rahmah. Jika tiada lagi ciri-ciri tersebut, memohon perceraian adalah pilihan dan jalan yang terakhir setelah pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkannya tidak berhasil. Lebih-lebih lagi ia boleh membawa kemudharatan dan tekanan emosi dan psikologi pasangan. Namun, jika isteri sudah tidak boleh bersama dengan suami, isteri boleh memohon khulu’. Ini berdasarkan kisah isteri Thabit bin Qais, sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah bersabda: أن امرأة ثابت بن قيس أتت النبي صلى الله عليه وسلم فقالت يا رسول الله ثابت بن قيس ما أعتب عليه في خلق ولا دين ولكنى أكره الكفر في الإسلام. فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أتردين عليه حديقته. فقالت : نعم. قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : اقبل الحديقة وطلقها تطليقة Maksudnya : “Isteri Thabit bin Qais menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah mencela Thabit bin Qais dari segi akhlak dan agamanya, tetapi sebagai seorang Islam, aku tidak suka mengingkari hak-hak suami”. Nabi SAW pun bersabda: “Bolehkah engkau memulangkan kebunnya?”. Dia menjawab: “Ya”. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada Thabit bin Qais: “Engkau terimalah kebun ini dan ceraikanlah dia talaq satu”. (Riwayat al-Bukhari) Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: أبغض الحلال إلى الله الطلاق Maksudnya : “Sebenci-benci perkara yang halal disisi Allah ialah talak” (Riwayat Ibnu Majah) Justeru, puan boleh membuat permohonan perceraian tersebut di Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk proses selanjutnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 145

message user image