Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pada hari ke 14 suci haid, darah keluar. Adakah dikira haid atau istihadhah. Jika telah berniat puasa sunat adakah ianya sah?
Jawapan
Darah haid ialah darah yang keluar sekurang-kurangnya mencukupi 24 jam dan paling lama ialah 15 hari 15 malam. Untuk mengetahui darah yang datang itu ialah haid, maka wanita itu perlu melihat sebelum darah itu datang adakah ia telah melalui tempoh suci sekurang-kurangnya 15 hari. Jika ya, maka darah yang baru datang itu bolehlah dikira haid jika ternyata cukup 24 jam. Maksud 24 jam itu ialah sama ada datang berterusan selama 24 jam atau terputus-putus tetapi apabila dicampurkan himpunan masanya maka ia cukup 24 jam asalkan tidak melepasi 15 hari.
Manakala keadaan yang dikira darah istihadah pula, pertama darah itu tidak cukup 24 jam. Yakni apabila darah yang datang itu setelah melepasi lima belas hari dari hari pertama dan setelah dicatat lama masanya tidak cukup 24 jam, maka ia adalah darah istihadah. Kedua, darah yang keluar ketika tempoh minimum suci (15 hari 15 malam) belum cukup, maka ia dikira istihadhah.
Merujuk soalan yang diajukan, darah yang keluar pada hari ke-14 suci itu adalah darah istihadhah kerana belum melepasi tempoh minimum suci walaupun padanya mempunyai ciri-ciri darah haid dari segi warna atau bau. Oleh itu, puan tetap wajib menunaikan solat dan puasa sunat tersebut sah serta boleh diteruskan.
Sekian, terima kasih.