Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Salam . Saya ingin mendapat penjelesan mengenai solat jamak kerana permalasahan ini telah beberapa kali menyebabkan pertelingkahan di antara saya dan isteri saya.
2. Isteri saya mengambil kaedah yang mudah ; dia akan melakukan solat jamak bila pergi ke majlis keraian , walimah , makan di restoran, membeli belah di shopping mall , berhari raya , dll walaupun jarak tempat2 ini ialah tidak lebih dari 20-30km dari rumah. Kadang2 isteri saya akan solat jamak di rumah sebelum keluar untuk pergi ketempat keraian yang saya sebut diatas . Contohnya : bila ada majlis makan malam dalam pukul 8.00 - 8.30 malam , dia akan solat magrib dan jamak isyak di rumah sebelum pergi ke majlis. Ada juga situasi dimana ketika sudah masuk waktu magrib di satu tempat yang di lawati , dia tidak solat magrib di tempat tersebut walaupun tempat tersebut ada menyediakan ruang solat dan tempat ambil wuduk yang selesa. Sebaliknya selepas majlis selesai dia akan pulang kerumah dan solat magrib / isyak secara jamak.
3. Alasan yang di beri oleh isteri saya ialah : Islam / Syariah membenarkan solat jamak dalam keadaan yang tersebut di atas . Kata dia lagi , Islam memberi kemudahan kepada umatnya untuk solat jamak .
4, Saya di fahamkan solat jamak itu bertujuan untuk memudahkan tetapi ada kaedahnya . Kaedahnya ialah : solat jamak itu bertujuan untuk memudahkan bila tanpa solat jamak ianya boleh meyebabkan kesusahan . Contohnya seorang ahli bomba yang sedang bertungkus lumus memadamkan satu kebakaran yang besar dan kalau dia berhenti walaupun sekejap untuk solat , kebakaran itu akan merebak . Dalam senario yang sedemikian , ahli bomba itu di benarkan solat jamak.
5. Isteri saya tidak setuju dengan saya dan menuduh saya mengharamkan satu yang halal.
6.Minta penjelasan dari pihak Tuan
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, jamak merupakan rukhsah yang diberikan kepada umat Islam atas beberapa sebab sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama seperti musafir, hujan, sakit, kesibukkan yang tidak dapat dielakkan seperti situasi ahli bomba yang sedang bertungkus lumus memadamkan satu kebakaran yang besar dan kalau dia berhenti walaupun sekejap untuk solat, kebakaran itu akan merebak. Adapun menunaikan solat secara jamak tanpa sebarang sebab yang dinyatakan oleh para ulama seperti pergi shopping mall, majlis keraian dan seumpamanya, maka tidak dibolehkan solat secara jamak selagi tidak mencapai dua marhalah.
Rukhsah bermaksud keringanan yang diberikan syarak yang berlawanan dengan hukum asal (yang mana di sini hukum asalnya adalah setiap solat fardhu perlu ditunaikan pada waktunya). Justeru, pada asalnya seseorang perlu menunaikan solat fardhu mengikut waktunya dan hanya dibenarkan melakukan jamak jika terdapat sebab yang membenarkannya. Situasi membeli belah, pergi majlis keraian, majlis raya dan seumpamanya tidak dinyatakan oleh para ulama sebagai sebab yang membenarkan solat jamak. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh). Justeru, solat jamak bagi situasi-situasi di tersebut adalah tidak dibenarkan.
Sekian, terima kasih.