BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamu’alaikum ustaz,

Apabila seorang isteri telah melakukan zina, menyimpan anak kandungannya (atas sebab tak sampai hati nak menggugurkan kandungan), dan memilih untuk membesarkan anak itu secara rahsia, apakah langkah-langkah yang seorang suami perlu lakukan jika mengetahui anak lelaki yang dikasihi selama ini adalah hasil daripada lelaki lain tetapi bernasabkan nama saya selepas 5 tahun berlalu?

Jika saya menerima dengan hati yang terbuka, bolehkah anak itu kekal bernasabkan nama saya walaupun bapa kandungnya masih hidup, demi menjaga aib anak yang tidak berdosa dalam kalangan keluarga dan masyarakat?

Apakah cara yang sebaiknya untuk lindungi dan memuliakan anak yang tidak bersalah ini ustaz? Saya terlalu kasihkannya. Dia hadir selepas 3 tahun kami cuba dapatkan zuriat.

Dan apa pula tindakan yang perlu dilakukan kepada isteri yang telah berzina dan sudah pun menyesali akan perbuatan lampaunya?

Mohon pencerahan ustaz.

 

Terima kasih.
Assalamu'alaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan :

Dalam hukum Islam, pada asalnya seseorang anak yang lahir dalam perkahwinan yang sah dinasabkan kepada suami berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

Maksudnya: “Anak itu dinasabkan kepada pemilik firash (suami dari perkahwinan yang sah), manakala bagi penzina hanyalah batu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan prinsip ini, sekiranya seorang anak dilahirkan dalam tempoh yang memungkinkan berlakunya hubungan suami isteri yang sah, maka pada asalnya nasab anak tersebut sabit kepada suami. Nasab yang telah sabit secara syarak tidak terbatal hanya dengan pengakuan isteri bahawa dia pernah melakukan zina.

Dalam mazhab al-Syafi‘i, antara syarat penting bagi pensabitan nasab ialah anak tersebut dilahirkan sekurang-kurangnya selepas enam bulan qamariah daripada tarikh akad nikah yang sah.

Dalam keadaan tertentu, syarak menetapkan suatu prosedur khas yang dikenali sebagai li‘an apabila suami ingin menafikan nasab anak yang dilahirkan oleh isterinya. Menurut mazhab al-Syafi‘i, hak penafian nasab hendaklah dilaksanakan sebaik sahaja suami memperoleh keyakinan bahawa anak tersebut bukan daripada benihnya. Kelewatan yang berpanjangan tanpa alasan yang diiktiraf syarak boleh memberi kesan terhadap hak penafian tersebut. Sekiranya timbul pertikaian antara pihak-pihak yang terlibat, maka hakim syarie berkuasa menentukan status nasab berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

Adapun sekiranya isteri benar-benar telah melakukan zina, kemudian mengakui kesalahannya, meninggalkan perbuatan tersebut, menyesal dengan sebenar-benar penyesalan serta bertaubat kepada Allah SWT, maka pintu taubat sentiasa terbuka baginya. Islam menggalakkan setiap hamba yang berdosa untuk kembali kepada Allah dengan taubat yang nasuha. Pada masa yang sama, syarak tidak mewajibkan perceraian semata-mata kerana dosa lampau yang telah ditaubati dengan sebenar-benarnya. Namun demikian, keputusan untuk meneruskan atau menamatkan perkahwinan hendaklah dipertimbangkan dengan penuh hikmah berdasarkan kemampuan kedua-dua pihak untuk membina semula kepercayaan, memelihara keharmonian rumah tangga serta memastikan maslahah keluarga terus terpelihara.

والله أعلم بالصواب

Sekian terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 18

message user image