Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ingin bertanya berkaitan taklik. Suami saya ada bertaklik kepada saya kerana sentiasa ungkit perbuatan curang dia sebelum ini. Saya ungkit berkaitan orang yang dia curang.
1. Suami saya bertaklik “Jika *** (Nama saya disebut) sebut lagi berkaitan Dia (perempuan tersebut) maka jatuh Talak 1” (Katanya niat dia jika disebut di hadapan dia sahaja) kerana dia sudah tidak berhubung dengan orang tersebut dan sudah berubah.
2. Tetapi selepas sahaja dia bertaklik saya terus sebut “Sanggup awak bertaklik untuk saya sebab dia” saya ungkit kerana saya berasa diri xdisayangi dan dikhianat (Adakah sudah jatuh talak?”
3. Jika suami lafaz rujuk beberapa hari selepas kejadian tersebut adakah taklik tersebut sudah terbatal jika taklik tersebut jatuh kerana berlaku perlanggaran sementara menunggu pengesahan mahkamah.
4. Jika dicatat tarikh dan masa boleh ke pengesahan mahkamah dilakukan lewat sedikit kerana kekangan kerja (baru sahaja berkhidmat di tempat baharu) dan lafaz rujuk tersebut sahih?
Jawapan pihak Tuan amatoah saya hargai.
Terima kasih
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Lafaz suami, "Jika (nama puan) sebut lagi berkaitan dia, maka jatuh talak 1", pada zahirnya merupakan suatu lafaz taklik yang mengaitkan berlakunya talak dengan suatu syarat tertentu. Dalam situasi yang puan nyatakan, ungkapan puan “Sanggup awak bertaklik untuk saya sebab dia” berpotensi menimbulkan persoalan sama ada syarat yang ditetapkan dalam taklik tersebut telah berlaku, khususnya jika ungkapan itu merujuk kepada perempuan yang dimaksudkan oleh suami ketika melafazkan taklik berkenaan.
Oleh itu, sekiranya apa yang diucapkan oleh puan benar-benar termasuk dalam perkara yang dimaksudkan oleh suami ketika menetapkan syarat tersebut, maka terdapat kemungkinan bahawa syarat taklik telah dilanggar. Namun begitu, penentuan sama ada talak benar-benar jatuh atau tidak memerlukan penelitian yang lebih mendalam terhadap lafaz, maksud sebenar, niat suami ketika melafazkan taklik, serta konteks perbualan yang berlaku.
Sehubungan itu, puan dan suami disarankan untuk merujuk perkara ini kepada Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama Islam yang berdekatan bagi mendapatkan pengesahan yang berautoriti. Institusi tersebut mempunyai bidang kuasa untuk meneliti segala keterangan dan fakta yang berkaitan sebelum membuat keputusan berhubung status talak, sama ada telah jatuh ataupun sebaliknya.
Sekiranya, sebagai suatu andaian, talak satu tersebut benar-benar telah jatuh akibat pelanggaran taklik, maka talak itu termasuk dalam kategori talak raj‘i. Dalam keadaan demikian, suami berhak merujuk isterinya semula sepanjang tempoh iddah dengan memenuhi syarat-syarat rujuk yang ditetapkan oleh syarak. Walau bagaimanapun, kesahan rujuk itu bergantung terlebih dahulu kepada persoalan asas, iaitu sama ada talak tersebut benar-benar telah berlaku. Justeru, pengesahan oleh Mahkamah Syariah amat penting bagi mengelakkan sebarang keraguan.
Adapun taklik yang telah dilanggar dan menyebabkan talak jatuh, maka taklik tersebut dianggap telah terlaksana dan tidak lagi berfungsi lagi.
Berhubung persoalan sama ada pengesahan boleh dibuat lewat kerana kekangan kerja atau faktor-faktor lain, secara umumnya kelewatan memfailkan permohonan pengesahan lafaz talak di Mahkamah Syariah tidak semestinya menjejaskan kesahan talak atau rujuk yang telah berlaku menurut hukum syarak. Sekiranya benar berlaku talak dan selepas itu berlaku rujuk yang sah dalam tempoh iddah, maka tarikh talak dan tarikh rujuk tersebut boleh dinyatakan kepada mahkamah walaupun permohonan dibuat pada suatu masa yang kemudian. Mahkamah akan meneliti bukti, tarikh, masa serta keterangan pihak-pihak yang terlibat sebelum membuat keputusan yang sewajarnya.
Sebagai nasihat bersama, isu yang berlaku ini bukan sekadar melibatkan hukum talak dan taklik, bahkan turut menyentuh aspek kepercayaan, emosi yang terluka serta kaedah menguruskan konflik dalam rumah tangga. Suami sewajarnya berhati-hati daripada menjadikan talak atau taklik sebagai alat untuk menghentikan pertengkaran atau mengawal percakapan pasangan. Talak merupakan perkara yang sangat serius dalam syariat Islam dan tidak wajar dijadikan ancaman atau dilafazkan secara mudah ketika berlaku perselisihan.
Dalam masa yang sama, kedua-dua pihak hendaklah berusaha membina komunikasi yang lebih baik, mengutamakan kesabaran serta menjadikan ketakwaan kepada Allah SWT sebagai asas dalam menyelesaikan setiap konflik rumah tangga. Semoga Allah SWT memelihara rumah tangga puan dan suami, mengurniakan ketenangan, serta mengeratkan kembali kasih sayang dan keharmonian antara kalian.
Sekian terima kasih