BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum, 

saya ingin bertanya mengenai hubungan keluargaan antara Ibu Dan anak. 

saya anak sulung daripada 4 beradik(umur 22 tahun dan sudah bekerja). mak ayah Kami cerai sekitar tahun 2024. ibu saya orang Indonesia(suri rumah) Dan tidak mempunyai ramai kenalan rapat Dan sebab itu tiada pilihan saya terpaksa menjadi saksi penceraian antara mereka di pihak ibu. disebabkan ini hubungan saya dengan ayah renggang selama 6 bulan kerana merasakan saya ini Salah satu punca perpecahan keluarga. sejujurnya saya terpaksa dalam hal ni kerana tiada siapa.  bermula daripada kes ini ibu memaksa saya untuk menjadi saksi kes tuntutan nafkah anak, mutaah dan iddah . kes ini memberi kesan mendalam kepada mental saya. (untuk pengetahuan, saya sering menjadi orang tengah apabila mak ayah ada pergaduhan dan mak saya selalu suruh dengar cakapnya bahkan mengambil duit ayah senyap-senyap sejak kecil). sehingga satu hari saya perlu angkat sumpah dan saya tidak boleh buat kerana rasa tertekan yang teramat jadi saya keluar dari mahkamah menangis dan ibu saya memarahi saya sepanjang dalam kereta (untuk pengetahuan pada ketika ini saya dengan ayah saya dah berbaik) saya hanya mampu diam. apabila kes mahkamah ditunda dia meminta buat pilihan yang berat Sama ada jadi saksi atau angkat sumpah menjadi penjaga utama dalam keluarga dan dia akan tinggalkan Kami . saya memikirkan dan berbincang dengan adik beradik dan mereka bersetuju untuk saya angkat sumpah mengambil alih keluarga. ibu memaksa untuk bagi jawapan pada keesokan harinya (sebenarnya dia asyik paksa memberikan jawapan pada saat dia bertanyakan soalan tersebut)

saya memberi jawapan untuk angkat sumpah. dia marah dan mengungkit segala perkara yang dia buat untuk kami bahkan meminta semula duit yang diberi. dan suruh buat semua kerja rumah sendiri.

pada hari penundaan perbicaraan mahkamah saya maklumkan peguam saya ingin menarik diri dan sekali lagi ini membuat saya hampir hilang kewarasan. saya dan ibu tidak bercakap antara satu Sama lain pada waktu yang lama dan adik yang menjadi perantara. sebenarnya ada lagi gangguan mental yang lain baru-baru ini saya dapati dia mencari rumah kawan saya semata mata menanyakan tentang diri dan sebagainya. tapi walau macam mana pun saya tidak pernah meninggi suara atau melawan secara kasar. saya juga membuat kerja rumah diawal pagi sebelum pergi kerja dan menanggung nafkah makan dan bil elektrik . saya Masih menjalankan tanggungjawab saya. cuma saya jarakkan diri Dan Tanya apa yang perlu kerana trauma mendalam . saya tidak mampu untuk bercakap seperti biasa dengan dia. bahkan sampai sekarang dia sering memarahi says. persoalannya betul atau tidak tindakan saya lakukan sekarang ini ? adakah Allah redha dengan perbuatan saya? sejujurnya saya ingin berjauhan daripada ibu saya kerana terlalu tertekan tetapi dia berumur 50 tahun dan hanya ada zakat, saya tidak ada kesanggupan untuk meninggalkan dia. jadi apakah hukum seorang anak tidak bercakap dengan ibu nya sendiri ? dan apa tindakan sebetulnya saya patut buat mengikut prinsip agama islam ? sila berikan pencerahan . (Minta maaf penjelasan yang panjang)


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, tindakan yang saudari lakukan itu adalah langkah positif mengurangkan interaksi dengan ibu saudari bagi menjaga kestabilan emosi dan mental dan dalam masa yang sama saudari tetap konsisten menjalankan tanggungjawab sebagai anak. Saudari juga tidak meninggikan suara kepada ibu, tidak memaki atau menghina ibu, masih membantu kerja rumah, masih memberi nafkah keperluan yang mampu dan tidak mengabaikan kebajikan ibu. Ini menunjukkan saudari tidak memutuskan hubungan ibu dan anak, tetapi sedang meletakkan jarak yang positif bagi mengurangkan tekanan yang berat. Maka, tindakan ini bukanlah suatu bentuk penderhakaan kepada ibu.

Dalam Islam, berbuat baik kepada ibu bapa adalah wajib, namun Islam juga tidak mewajibkan seorang anak menerima kezaliman, tekanan atau manipulasi tanpa batas. Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 15 :

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: Jika kedua-duanya memaksa engkau melakukan sesuatu yang tidak benar, maka janganlah engkau taati mereka, tetapi tetaplah bergaul dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.

Ayat ini menunjukkan bahawa sekalipun ibu bapa melakukan sesuatu yang tidak wajar, anak tetap dituntut berbuat baik, tetapi tidak wajib mentaati perkara yang memudaratkan atau tidak benar tersebut. Anak tidak dibenarkan menderhaka kepada ibu bapa, tetapi juga tidak dituntut untuk menyerahkan dirinya kepada kezaliman atas nama berbakti. Seorang anak boleh berkata "tidak" terhadap perkara yang salah, menetapkan sempadan yang benar, dan mengelakkan kemudaratan, sambil terus mengekalkan penghormatan, doa, bantuan dan layanan yang baik kepada ibu bapanya.

Justeru, ukuran berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah dengan memenuhi semua kehendak mereka tanpa batas, tetapi dengan mengekalkan ihsan, hormat dan kasih sayang dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syarak serta tidak membawa kepada kemudaratan yang nyata. 

Semoga pengorbanan saudari sentiasa mendapat redha Allah SWT. Jadilah anak yang baik tanpa memikul beban yang bukan tanggungjawab saudari. Serahkan segala yang tidak mampu diubah kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui luka yang tersembunyi dalam hati dan Dia tidak akan mensia-siakan kesabaran hambaNya.

والله أعلم بالصواب.

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 9

message user image