Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
saya sedang berada di ambang dilema dimana saya sedang menghasilkan video atau konten seakan akan movie trailer dimana dalamnya menunjukkan pergerakan solat (pergerakan solat yang sebenar bukan olok-olok) dan video atau konten tersebut bertujuan dakwah untuk menggalakkan solat secara kreatif. Namun, saya bimbang jika video2 saya dikatakan tidak menghalalkan cara atau lebih senang kata ianya bertentangan atau mempunyai unsur2 haram. Tuan/puan boleh merujuk link akaun saya ini untuk meneliti dengan lebih jelas tentang isu ini,
Saya berharap agar permasalahan yang sering bermain dalam fikiran saya ini akan terjawab. Terima kasih tak terhingga.
Jawapan
Berdasarkan penjelasan tuan, isu merakam atau membuat konten sedang solat perlu dilihat pada beberapa aspek. Sekiranya ia bertujuan pendidikan dan dakwah dengan niat yang murni dan ikhlas, maka ia diharuskan. Sekiranya ia bertujuan menunjuk-nunjuk maka ia jelas adalah dilarang kerana termasuk sifat riyak. Walaupun begitu, kesan konten solat kepada diri sendiri boleh menyebabkan hilangnya khusyuk ketika solat dan ia adalah perbuatan yang makruh. Oleh itu, ia kembali kepada niat membuat konten tersebut dan perlu melihat adakah konten yang dihasilkan boleh menimbulkan fitnah atau tidak.
Sekian, terima kasih.