Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin tahu apakah syarat yang perku dicapai untuk seseorang dipanggil mengalami daimul hadas? Kerana jika saya mengalami kentut faraj setiap kali solat adakah itu sudah cukup syarat? Saya sedar luar waktu saya hendak solat ada kala berlaku dan ada kala tidak berlaku. Ia lebih kepada berlaku bila saya membuat pergerakan tertentu. Kerana selain dari melakukan solat saya jenis selalu duduk kepit kaki yang menyebabkan tiada sebab untuk kentut faraj berlaku. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, daimul hadath merujuk kepada seseorang yang mengalami hadas secara berterusan atau berulang-ulang tanpa dapat dikawal sehingga tidak terdapat tempoh yang mencukupi untuk dia bersuci dan menunaikan solat dalam keadaan suci. Antara contohnya ialah individu yang mengalami salis al-bawl (kencing tidak lawas), istihadhah atau keadaan lain yang menyebabkan hadas keluar secara berterusan.
Seseorang hanya dikategorikan sebagai daimul hadath apabila dia benar-benar yakin bahawa hadas tersebut sentiasa atau kerap berlaku sehingga sepanjang tempoh solat tidak terdapat masa yang mencukupi untuk berwuduk dan menunaikan solat tanpa hadas berulang. Penentuan ini hendaklah berdasarkan keyakinan terhadap kejadian yang benar-benar berlaku, bukan semata-mata sangkaan atau perasaan.
Berdasarkan situasi yang puan nyatakan, iaitu kentut faraj hanya berlaku pada masa-masa tertentu dan lebih cenderung berlaku apabila melakukan pergerakan tertentu dalam solat, sedangkan pada waktu lain ia tidak berlaku. Keadaan tersebut belum memadai untuk mengkategorikan puan sebagai seorang yang mengalami daimul hadath. Hal ini kerana, masih terdapat tempoh di mana hadas tersebut tidak berlaku, sekali gus membolehkan puan mengambil wuduk dan menunaikan solat dalam keadaan suci.
Sekiranya puan benar-benar yakin bahawa kentut faraj telah berlaku ketika sedang menunaikan solat, maka wuduk dan solat tersebut terbatal, lalu puan hendaklah mengambil wuduk semula dan mengulangi solat. Sebaliknya, jika selepas selesai solat puan hanya berasa ragu-ragu atau sekadar menyangka kentut faraj mungkin telah berlaku tanpa sebarang keyakinan, maka keraguan tersebut hendaklah diabaikan. Ini kerana kaedah fiqh menetapkan bahawa sesuatu hukum tidak berubah hanya dengan keraguan, sebaliknya mestilah berdasarkan keyakinan.
Oleh itu, keadaan puan belum memenuhi syarat untuk dianggap sebagai daimul hadath. Namun, sekiranya pada masa akan datang kentut faraj berlaku secara berterusan sehingga tidak ada tempoh yang mencukupi untuk berwuduk dan menunaikan solat tanpa hadas berulang, maka hukum berkaitan daimul hadath boleh terpakai. Dalam keadaan tersebut, puan perlu mengikut tatacara wuduk dan solat bagi daimul hadath. Untuk penerangan yang lebih jelas, puan boleh merujuk kepada artikel taudhih al-hukmi tersebut pada pautan:
Sekian, terima kasih.