BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Saya ingin mendapatkan penjelasan berkaitan dengan hukum dan pelaksanaan nikah gantung di Negeri Selangor.

Saya seorang perempuan yang sudah mempunyai pendapatan tetap, manakala pasangan lelaki saya masih sedang melanjutkan pengajian (peringkat degree di Perlis). Kami berada dalam hubungan jarak jauh dan jarang berjumpa.

Kami mempunyai kebimbangan untuk terjerumus kepada perkara yang tidak diingini ketika keluar bersama tanpa ikatan yang sah. Pada asalnya kami bercadang untuk berkahwin selepas beliau tamat pengajian dalam tempoh kira-kira 4 tahun, namun tempoh tersebut dirasakan agak lama bagi kami.

Oleh itu, kami mempertimbangkan untuk melangsungkan perkahwinan secara nikah gantung (nikah khitbah), iaitu akad nikah dilakukan terlebih dahulu tetapi kehidupan berumahtangga seperti tinggal bersama akan ditangguhkan atas persetujuan kedua-dua pihak dan keluarga.

Sehubungan itu, saya ingin bertanya:

  1. Apakah pandangan pihak Mufti Selangor mengenai situasi kami ini dan konsep nikah gantung?
  2. Adakah dibenarkan atau digalakkan dalam keadaan seperti kami (masih belajar, hubungan jarak jauh)?
  3. Apakah syarat-syarat sah nikah gantung mengikut undang-undang dan hukum syarak di Selangor?
  4. Adakah hak dan tanggungjawab suami isteri dalam nikah gantung sama seperti perkahwinan biasa?
  5. Adakah terdapat prosedur khas yang perlu dipatuhi di Pejabat Agama Islam Selangor untuk pelaksanaan nikah seperti ini?
  6. Bagaimanakah cara yang sesuai untuk meyakinkan keluarga kedua-dua pihak mengenai konsep nikah gantung ini agar tidak timbul salah faham?

Terima kasih atas penjelasan yang diberikan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Nikah gantung atau nikah khitbah adalah sama dengan nikah biasa yang mengikut hukum dan undang-undang Islam, iaitu cukup rukun dan syarat sah nikah serta mengikut prosedur perkahwinan. Diistilahkan dengan nikah gantung kerana pasangan suami isteri tidak tinggal serumah dalam tempoh masa tertentu dengan persetujuan bersama kedua-dua pihak. Namun, mereka sah dan halal melayari kehidupan berumahtangga tanpa batasan aurat, halal bersentuhan, bersama dan memberi nafkah.

Bagi pasangan yang ingin bernikah boleh membuat permohonan pernikahan seperti biasa melalui Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengannya. Tiada prosedur khusus secara pentadbiran bagi mereka yang ingin mengamalkan nikah gantung.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk meyakinkan keluarga adalah dengan berterus terang kepada mereka tentang keadaan mahupun perasaan yang saudari rasai.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 16

message user image