BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Saya ingin memohon pandangan dan penjelasan daripada pihak Mufti Negeri Selangor berkaitan status nasab anak saya.

Saya dan suami telah bernikah pada 10 Oktober 2025 dan anak kami dilahirkan pada 7 April 2026. Semasa urusan pendaftaran kelahiran di JPN, pihak JPN memaklumkan bahawa tempoh kelahiran kurang 3 hari daripada syarat 6 bulan qamariah, menyebabkan nama bapa tidak dapat dibinkan pada sijil kelahiran.

Pihak JPN telah mencadangkan agar kami membuat permohonan di Mahkamah Syariah bagi pengesahan nasab anak.

Sehubungan itu, saya ingin memohon pandangan pihak Mufti:

  1. Adakah anak tersebut masih mempunyai kemungkinan untuk disabitkan nasab kepada bapanya menurut hukum syarak?
  2. Bagaimanakah kaedah sebenar pengiraan 6 bulan qamariah yang digunakan menurut hukum syarak di Negeri Selangor?
  3. Adakah kelahiran pramatang diambil kira dalam penentuan nasab?
  4. Apakah pandangan atau nasihat pihak Mufti berhubung situasi kami sebelum keputusan Mahkamah Syariah dibuat?

Saya amat menghargai penjelasan dan pandangan daripada pihak Mufti. Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan yang diajukan, terdapat beberapa isu yang perlu dilihat:

1. Pensabitan anak kepada bapanya

Menurut mazhab Syafi’i, tempoh minimum kehamilan dalam Islam adalah enam bulan qamariah dua lahzah (detik). Satu detik untuk tempoh persetubuhan dan satu detik untuk tempoh bersalin. Namun penentuan nasab anak adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

2. Kaedah sebenar pengiraan enam bulan qamariah yang digunakan menurut hukum syarak di Selangor

Jumhur ulama Syafi’I berpandangan tempoh minimum kehamilan enam bulan qamariah dua lahzah bersamaan 180 hari ditambah dua lahzah. Manakala, dalam mazhab Maliki tempoh tersebut adalah bersamaan 175 hari. Dalam konteks nasab, tempoh pengiraan minimum kehamilan dikira bermula dari masa imkan al-dukhul (berlakunya persetubuhan). Berdasarkan situasi yang dinyatakan, sekiranya berlaku imkan al-dukhul pada tarikh yang sama:

  • Tarikh nikah: 10 Oktober 2025 (Hijriah: 18 Rabiul Akhir 1446H)
  • Tarikh lahir anak: 7 April 2026 (Hijriah: 18 Syawal 1447H)

Jadi, tempoh dari tarikh nikah ke tarikh kelahiran anak adalah 179 hari. Ini menjadikan tempoh penasaban itu adalah kurang daripada tempoh minimum kehamilan.

*perlu diberi perhatian juga mengenai masa berlakunya persetubuhan itu kerana ianya berkaitan dengan tempoh dua lahzah. Sekiranya berlakunya persetubuhan pada jam 11 malam, kiraan tempoh penasaban juga bermula pada 11 malam.

3. Penentuan nasab kelahiran anak pramatang

Ya, namun begitu, terdapat pandangan fatwa yang perlu dilihat:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 (“Muzakarah Fatwa Kebangsaan”) yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan isu anak tak sah taraf dan memutuskan seperti berikut:

Takrif Anak Tak Sah Taraf:

  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah, sama ada akibat zina atau rogol, dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah atau perhambaan.
  2. Anak yang dilahirkan kurang daripada tempoh enam bulan dua lahzah (saat) mengikut takwim qamariah daripada tarikh tamkin (persetubuhan).
  3. Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada mana-mana lelaki yang mengaku sebagai bapanya. Oleh itu, mereka tidak mempunyai hubungan pewarisan pusaka, tidak menjadi mahram, serta tidak layak menjadi wali.

Seterusnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Januari 2005 telah memperincikan sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syarak seperti berikut:

  1. Anak yang dilahirkan tanpa akad nikah yang sah, sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui kaedah saintifik yang bercanggah dengan hukum syarak.
  2. Anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu imkan al-dukhul dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.
  3. Anak yang dilahirkan melebihi enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu imkan al-dukhul selepas akad nikah yang sah, namun terdapat bukti menurut hukum syarak bahawa anak tersebut adalah anak luar nikah, sama ada melalui iqrar (pengakuan) pihak berkenaan (suami, isteri atau salah seorang daripada mereka) atau keterangan empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat syarak.

Isu mengenai penasaban anak puan perlu diambil kira menerusi keputusan fatwa yang dikeluarkan. Namun, ketetapan sabit nasab anak perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah. 

4. Pandangan atau nasihat pihak Mufti berkaitan situasi yang dinyatakan

Puan dan suami disarankan untuk membawa surat pengesahan kelahiran pramatang anak daripada doktor sebelum merujuk kepada pihak mahkamah syariah bagi memutuskan dan mengesahkan nasab anak tersebut. Ini kerana hanya pihak mahkamah yang berautoriti untuk menentukannya. Kemudian, setelah mendapatkan keputusannya barulah hadir ke JPN untuk pendaftaran kelahiran.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 28

message user image