Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Situasinya begini.
Adik perempuan bapa sudah berkahwin lebih 26 tahun (anak sulung mereka berusia 26 tahun). Tetapi sepanjang lebih 26 tahun suaminya tidak pernah menyediakan tempat tinggal khas untuk mereka sekeluarga (suami, isteri & 4 orang anak). Waktu mereka masih anak 2 atau 3 orang, mereka masih ulang alik dari rumah ibu kepada bapa saya (rumah nenek) ke rumah mentua adik perempuan bapa (rumah ibubapa suaminya). Tetapi sejak hampir 20 tahun lepas mereka sekeluarga menetap di rumah nenek. Awalnya dengan alasan mereka jaga nenek yang keseorangan. Semuanya nampak macam baik-baik sahaja sebelum ini kerana semua orang cuba berlapang dada dengan situasi tersebut. Sepanjang 20 tahun lepas, ada adik-beradik bapa saya yang lain bersilih ganti tinggal di rumah nenek tetapi tidak lama sebelum mereka pindah keluar kembali bersama-sama keluarga masing-masing. 16 tahun lepas, bapa saya kehilangan isteri (ibu saya) tetapi masih ada tanggungan anak-anak (abang & saya) yang pada 16 tahun lepas masih di bawah usia dewasa. Sewaktu ibu saya masih hidup, bapa sediakan nafkah tempat tinggal untuk kami sekeluarga walaupun hanya dengan menyewa rumah dan beberapa kali berpindah randah cuma rumah sewa yang terakhir sebelum ibu meninggal adalah dalam kampung yang sama dengan rumah nenek cuma berbeza lorong. Setelah ibu saya meninggal, bapa membawa kami adik-beradik pindah semula ke rumah nenek. Bapa juga sebenarnya sudah mempunyai rumah tetapi tidak siap dibina sepenuhnya di atas tanah yang sama dengan rumah nenek. Rumah tersebut sudah ada struktur dan awalnya memang niatnya kami anak-beranak tinggal di rumah tersebut. Namun begitu, setelah tahun demi tahun berlalu, akhirnya saya & abang pun menganjak dewasa dan kami masih tinggal di rumah nenek yang isinya nenek, bapa saya, saya & abang serta keluarga adik perempuan bapa saya (suaminya, adik perempuan bapa saya, 4 orang anak mereka). Maafkan dan betulkan semula fahaman & pandangan saya andai salah tetapi saya berpendapat bahawa suami adik perempuan bapa saya seharusnya sedar dan tahu akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami & bapa semenjak 16 tahun lepas rumah nenek sudah pun ada orang yang mana jika mereka berkata bahawa mereka ada di rumah ini untuk menjaga nenek mereka sebenarnya boleh sahaja jaga pada waktu siang dan pulang ke rumah sendiri waktu malam tetapi suaminya langsung tidak pernah berusaha untuk menyediakan tempat tinggal untuk keluarga mereka sendiri. Nenek bukanlah bedridden atau tidak mampu menguruskan diri sendiri. Nenek hanya perlu ditemankan kerana anak-anaknya tidak mahu dia bersendirian. Tetapi lama-kelamaan keluarga adik perempuan bapa saya ini sudah melampaui batas dengan tidak menghormati bapa saya, mereka juga buat rumah nenek ni seolah-olah hak mutlak mereka. Semua bilik selain bilik nenek mereka sekeluarga ambil dan tiada langsung tempat untuk bapa, saya & abang. Kami hanya diletakkan di ruang tamu lama (kerana rumah sudah dibesarkan & ada ruang tamu baharu) yang mana ruang tamu lama ini dipenuhi dengan barangan lama yang sudah tidak digunakan lagi oleh adik lelaki ayah yang tidak tinggal di rumah nenek ini pun. Ada jugalah barangan lain lagi yang sememangnya sudah tidak digunapakai lagi. Sebagai anak perempuan, saya sebenarnya sangat tidak selesa kerana selama saya di sini saya langsung tidak ada ruang privasi. Nak ganti baju pun kena dalam bilik air. Pakai baju pun tidak boleh pakai yang terbuka. Pakai t-shirt biasa pun masih lagi nenek kata tidak sopan. Jujurnya tidak selesa tetapi yang sepatutnya keluar dari rumah nenek ini bukan keluarga saya. Namun, adik-beradik yang tidak tinggal di rumah nenek ini nampak seolah-olah keluarga adik perempuan bapa saya inilah yang selayaknya tinggal di sini sedangkan tanggungjawab bapa saya semenjak 8-12 tahun lepas hanyalah dirinya sendiri & nenek. Saya & abang sudah pun dewasa dan tidak lagi berada di bawah tanggungan bapa saya. Berbalik kepada isu keluarga adik perempuan bapa saya tadi. Saya ingin tahu apakah hukumnya jika menantu lelaki tinggal tetap di rumah mentua (yang ada cuma mentua perempuan) dengan alasan mereka sekeluarga jaga nenek yang masih boleh urus diri sendiri sedangkan peti ais dipenuhi dengan barangan yang kebanyakan nenek tidak boleh makan disebabkan penyakit, sakit demam nenek tidak mereka ambil tahu dan peduli, apa yang nenek minta tolong mereka abaikan, bil utiliti selama bapa bawa kami sekeluarga pindah ke sini kami yang tanggung semuanya cuma hanya pada waktu PKP dahulu bapa meminta mereka untuk tolong bayaran sementara nak pulihkan ekonomi diri semula tetapi mereka sudah meninggi diri sekarang dan dengan lancangnya menyuruh bapa pasang meter elektrik sendiri jika nak bayar. Bak kata mereka " jangan sibuk-sibuk nak bayar bil orang. Pergilah hidup di rumah sendiri, pasang meter sendiri kalau nak bayar sangat bil." Sedangkan sekarang menjelang 2 tahun lebih saya mula bekerja tetap setelah tamat belajar saya yang bayar bil utiliti itu semua kerana ekonomi perniagaan bapa sudah merosot semenjak PKP. Mereka menyuarakan seolah-olah bapa saya ini gagal jadi manusia. Hinakah bapa saya hanya kerana dia miskin dan tak mampu? Mengapakah ibu dan adik-beradiknya sendiri sanggup berkata sehingga menyakitkan hatinya? Tahukah mereka perubatan dan kata-kata mereka itu turut mengundang dosa? Sia-sia sahaja berusaha pergi beribadah, menyumbang kepada orang luar sedangkan dengan darah daging sendiri mereka sanggup sakiti. Saya ada ilmu tentang ukur tanah & undang-undang tanah. Cumanya saya nak tahu, adakah boleh saya cuba memperjuangkan hak bapa saya? Ini bukan sekadar harta. Ini soal maruah bapa saya.
Maafkan saya kerana terlalu panjang dan terlalu banyak perkara yang ditulis tetapi saya perlu dapat jawapan untuk persoalan-persoalan saya ini.
Didahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih. Moga Allah kurniakan segala kebaikan di dunia Dan akhirat.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, tempat tinggal merupakan sebahagian daripada nafkah zahir yang wajib ditunaikan oleh suami. Seorang suami pada asalnya wajib menyediakan tempat tinggal yang selamat untuk isteri dan anak-anaknya. Kewajipan tersebut hanya gugur jika isteri atau seseorang seperti bapa mertua mengizinkan suami tinggal di rumah mereka tanpa sebarang bayaran. Jika ditetapkan bayaran atau isteri mahupun bapa/ibu mertua mengizinkan suami untuk tinggal di rumah mereka tanpa sebarang paksaan atau tanpa menyatakan sebarang bayaran, maka suami wajib membayar sewa kepada pemilik kediaman tersebut. Disebutkan dalam Hasyiah al-Syarwani (8/315):
Maksudnya: Sekiranya dia (suami) tinggal bersama isterinya dengan izinnya, dan isteri berdiam diri (tidak membantah) jika rumah tersebut miliknya, serta (dengan) diamnya pihak seperti bapanya jika rumah itu milik bapanya, maka dalam keadaan yang disebut itu, wajib dikenakan bayaran sewaan (terhadap suami).
Perbuatan mengambil alih rumah yang bukan miliknya termasuk dalam perbuatan yang zalim kerana mengambil sesuatu yang bukan menjadi miliknya serta menafikan orang lain yang boleh mendiaminya. Selain itu, perbuatan menghina saudara seIslam adalah dilarang kerana ia termasuk dalam menyakiti dan merendahkan maruahnya.
Justeru, puan boleh perjuangkan hak bapa puan, tapi ia mesti dilakukan dengan tertib dan tidak berlebihan bagi mengelakkan berlaku kezaliman dari pihak puan. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengadakan rundingan keluarga untuk mengesahkan hak bersama. Di samping itu, puan juga boleh merujuk pihak berautoriti dalam hal ini seperti pejabat agama Islam di daerah tuan/puan tinggal atau Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri bagi mendapatkan lagi nasihat dan panduan.
Sekian, terima kasih.