Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
salam.
saya mempunyai suami yang panas baran dan tidak mempercayai saya. Jika terlalu marah, suami akan bertindak memukul saya. Maka bila dia sedang marah, suami akan suruh saya bersumpah, jika menipu kita bercerai. Saya terlalu takut suami naik angin dan akan memukul saya, maka kadang kadang saya tidak berfikir dengan sebetulnya kerana takut dimarahi. Oleh itu, saya akan mengucapkan ayat tersebut. Contoh: Saya tidak ada apa2 nak beritahu lagi, kalau saya menipu kita bercerai. Soalan saya, adakah taklik telah jatuh ke atas saya? Jujurnya, saya terlalu takut dimarahi oleh suami. Tolong bantu saya.
Jawapan
Berdasarkan ayat yang puan nyatakan iaitu : "Saya tidak ada apa-apa nak beritahu lagi, kalau saya menipu kita bercerai", bukanlah lafaz taklik dan tidak menyebabkan jatuh talak ke atas isteri. Ini kerana yang bertaklik adalah isteri, bukan suami. Justeru, isteri tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talak. Tindakan suami yang panas baran dan memukul isteri adalah biadab dan ganas. Disarankan agar puan membuat aduan rumahtangga di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal.
Sekian, terima kasih