Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Seorang rakan yang berugama Sikh telah menghantar jemputan perkahwinannya di dalam sebuah kuil gurdwara. Saya pasti ada ritual keagamaan dan lagu pemujaan akan dimainkan semasa majlis resepsinya berlangsung. Bolehkah saya menghadirinya atau bagaimana? Terima kasih.
Jawapan
Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8:
Maksudnya: Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.
Agama Islam tidak melarang ikatan persahabatan dengan bukan Islam. Namun kehadiran itu mestilah terbatas sebagai hadirin biasa dan tidak boleh terlibat dengan sebarang proses ritual seperti membaca doa, mengiringi pasangan pengantin masuk ke kuil gurdwara atau berada di pentas sewaktu proses perkahwinan yang diupacarakan sami sedang berlangsung dan memastikan makanan yang dihidangkan adalah halal. Selain itu, sebarang aktiviti yang bercanggah dengan syari’at Islam seperti tarian, minum arak dan pergaulan bebas lelaki dan wanita wajib dielakkan walau dengan apa jua cara sekalipun.
Sekian, terima kasih