Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
apakah hukumnya suami yang panas baran terhadap isteri dan anak2nya ?
dia selalu kata dia marah bertempat, tapi kalau kesabarannya senipis kulit bawang. macam mana ?
ketika bergaduh, selalu mengungkit kisah silam isteri
dia kata, ingat kalau solat tu boleh masuk syurga ke kalau selalu melawan suami. saya cakap dosa pahala Allah tentukan. dan solat tu bukan sebab kita baik, sebab wajib kena solat.
suami kat luar solat di masjid sbb bekerja bersama kawan2. tapi dirumah tak solat.
selalu je suruh dia solat, tapi dia buat tak tahu je
duit yang ada, lebih suka beli kehendak diri berbanding keperluan. bila isteri minta duit kata tiada duit. bila isteri kata, ada pula duit beli itu ini, dia diam.
isteri kena dengar semua kata2 suami, kalau suami kata jangan, jangan. betul atau salah, kena turutkan juga.
suami semua boleh, isteri semua tak boleh.
nak pergi ke rumah ibuayah hujung minggu kena bersyarat. dan kalau dia kata jangan pergi, tak boleh pergi.
sedangkan dirumah, ayah mertua duduk sekali dan setiap hari sebelum pergi kerja saya sediakan makanan untuk ayah mertua.
susah nak capai kata sepakat, toleransi, bertolak ansur.
contoh hari ni marah, esok pagi bangun macam tiada apa2
sebelum ni saya seorang penyabar sukar nak melawan. setelah 6tahun kahwin, saya terikut2 perangai baran dia ketika kami bertengkar.
pagi dia kerja pemandu lori, malam kerja rider (grab/foodpanda).
saya kerja sebagai kerani biasa.
ank2 3orang (14tahun L, 10tahun P, 6tahun L)
ayah mertua
Jawapan
Dalam Islam, seorang suami ditegah sama sekali daripada membenci, menghina atau melayan isterinya dengan kasar walaupun terdapat sikap isteri yang tidak disukai. Hal ini kerana Islam mewajibkan suami melayan isteri dengan penuh kasih sayang, hormat dan mempunyai sifat ihsan. Ini bertepatan dengan ayat Al-Quran di dalam surah al-Nisa' ayat 19:-
Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.
Perbuatan memaki hamun, meninggikan suara, mengugut, menghina, menjatuhkan maruah atau melakukan penderaan fizikal akibat sifat panas baran merupakan satu kezaliman dan berdosa di sisi syarak. Sikap panas baran yang tidak dikawal boleh merosakkan keharmonian rumah tangga, menjejaskan emosi isteri dan anak-anak serta menyebabkan hubungan suami isteri menjadi tidak aman dan penuh ketakutan.
Sekiranya seorang isteri mengalami penderaan emosi atau fizikal yang berterusan sehingga tidak mampu lagi hidup dengan tenang, dia berhak membuat tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah walaupun penderaan tersebut tidak meninggalkan kesan kecederaan fizikal yang jelas. Dalam Islam juga, suami disarankan mengawal kemarahan dengan berdiam diri ketika marah, mengambil wuduk dan mengubah posisi seperti duduk jika sedang berdiri atau berbaring jika masih marah. Pada masa yang sama, isteri tidak sepatutnya terus berdiam diri atau memendam penderitaan apabila menjadi mangsa penderaan emosi mahupun fizikal, sebaliknya digalakkan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga, pihak berkuasa, kaunselor atau institusi agama bagi melindungi keselamatan, maruah dan kesejahteraan dirinya.
Sekian, terima kasih.