Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Saya nak bertanya tentang produk patuh shariah yang diuar uarkan oleh CGS, seperti pasaran hadapan global Crude Oil seperti yang disebut dalam link video di bawah oleh Prof Dr Asnan di Youtube bertajuk "Webinar Recap Tazkirah Saham: Soal Jawab Hukum Pelaburan bersama Prof Dato Dr Aznan.
Soalan saya, saya hendak berdagang Crude Oil Futures di CGS, yang mana seperti dikatakan oleh beliau (Prof Dato) ialah patuh shariah. Saya tidak mahu memiliki minyak tersebut secara fizikal, tapi saya mahu berdagang untung mengambil keuntungan dari naik turun harga Crude Oil tersebut, melalui long dan juga short selling. Berdasarkan penjelasan dari Prof, ini dibenarkan memandangkan CGS membuat platform tersebut yang mematuhi prinsip shariah. Boleh ka saya melakukan trading ini? Dalam video tersebut, juga disebut pandangan lain mengenai hadis yang melarang menjual barang yang tidak kamu miliki, yang mana terdapat pandangan yang menyatakan hadis tersebut bermaksud jangan menjual barang yang kamu tidak dapat serahkan. Jadi hal ini membolehkan short selling dan dengan adanya clearing house, membenarkan kita melakukannya.
Secara ringkas, saya ingin tahu boleh ka saya nak trade Crude Oil futures ini melalui CGS yang menyatakan ianya patuh shariah secara keseluruhan. Saya nak mencari rezeki yang halal melalui trading, dan saya mempunyai skil analisa yang baik yang membolehkan saya membuat keuntungan, saya cuma mohon untuk memastikan trading saya ini, patuh shariah dan pendapatan saya ini halal.
Mohon penjelasan pihak mufti.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan;
Berdasarkan carian rasmi, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SAC SC) di Malaysia telah membuat ketetapan tentang keharusan Kontrak hadapan Crude Palm Oil (CPO Futures) sebagai suatu instrumen pengurusan risiko di dalam perusahaan mahupun pelaburan.
Oleh itu, secara umumnya urus niaga futures komoditi (seperti minyak mentah) serta aktiviti mengambil posisi long dan short tidak boleh dihukumkan secara mutlak sebagai haram atau harus tanpa melihat kepada struktur dan mekanisme sebenar yang digunakan. Hukum keharusannya bergantung kepada sejauh mana transaksi tersebut memenuhi parameter Syariah yang ditetapkan, antaranya bebas daripada unsur riba, perjudian (maysir), ketidakpastian yang berlebihan (gharar fahish), serta mematuhi rangka kerja dan resolusi Syariah yang diterima pakai oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (MPS SC).
Sehubungan itu, sekiranya produk Crude Oil Futures yang ditawarkan melalui CGS beroperasi di bawah akaun atau platform Islamik yang telah disemak dan diluluskan oleh panel penasihat Syariah yang berkelayakan, serta memenuhi semua parameter Syariah yang ditetapkan oleh pihak berautoriti, maka produk tersebut pada asasnya boleh dianggap sebagai harus untuk disertai.
Walau bagaimanapun, memandangkan penentuan status patuh Syariah sesuatu produk kewangan memerlukan penelitian terhadap struktur kontrak, dokumentasi, kaedah pelaksanaan serta mekanisme penyelesaian transaksi yang bersifat teknikal dan khusus, adalah disarankan agar pihak yang berminat mendapatkan pengesahan lanjut terus daripada Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (MPS SC) atau penasihat Syariah yang bertauliah. Hal ini kerana MPS SC merupakan badan berautoriti yang bertanggungjawab menentukan dan mengesahkan status patuh Syariah bagi produk dan instrumen pasaran modal di Malaysia.
Sekian, terima kasih.