Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum wbt ustaz, saya sebenarnya ingin belajar mengenai ilmu tauhid serta saya baru tahu bahawa untuk belajar ilmu tauhid ini ada peringkat. jadi saya hendak tanya soalan mengenai, bagaimana untuk saya mengenali diri saya? apa yang sepatutnya saya tahu tentang diri saya? saya minta maaf mufti, saya baru ingin belajar dan tidak tahu untuk bertanya pada siapa yang lebih arif. saya ada tengok YouTube dan baca dekat google.. tapi saya risau saya salah faham/salah makna. minta pencerahannya mufti. terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan pihak saudari, mengenali diri bukan sekadar memahami jasad dan akal, tetapi menyedari hakikat bahawa kita ini makhluk yang lemah, berserah sepenuhnya kepada Allah setelah berusaha dan berdoa. Dari kesedaran ini lahirlah iman yang benar, ibadah yang ikhlas dan akhlak yang mulia.
Ilmu tauhid ada peringkatnya, sebagaimana disebut oleh para ulama:
Tauhid awam – keyakinan bahawa Allah itu Esa, tiada sekutu bagi-Nya.
Tauhid khawas – keyakinan yang lebih mendalam, melihat segala sesuatu sebagai tanda kebesaran Allah.
Tauhid khawas al-khawas – peringkat tertinggi, di mana hati sentiasa bergantung kepada Allah, tiada selain-Nya dalam jiwa.
Ilmu tauhid adalah ilmu kepercayaan di hati yang mengEsakan Allah sahaja yang disembah, dipohon segala hajat, rezeki, ilmu, bahagia dan selamat yang menjadi pegangan dan amalan dalam hidup setiap waktu agar Allah terima kita sebagai manusia yang beriman kepadaNya dan dimasukkan ke dalam syurga di akhirat. Maka belajarlah dengan guru yang bertauliah, kitab yang muktabar dan sentiasa merendahkan diri dalam menuntut ilmu. Semoga Allah membuka hati kita untuk mengenal-Nya dengan sebenar-benar pengenalan dan menjadikan kita hamba yang taat serta redha dengan segala ketentuan-Nya.
Sekian, terima kasih.