BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Salam ust. Adakah isteri mempunyai iddah selepas bercerai jika hubungan suami isteri ada berlaku tetapi tidak sempurna yakni alat sulitnya hanya masuk separuh dan tidak pernah ada pancutan air mani sepanjang perkahwinan selama 2 tahun.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, isteri yang bercerai tetapi tidak pernah disetubuhi oleh suaminya maka tiada iddah baginya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 237: 

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةًۭ فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّآ أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَا۟ ٱلَّذِى بِيَدِهِۦ عُقْدَةُ ٱلنِّكَاحِ ۚ وَأَن تَعْفُوٓا۟ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۚ وَلَا تَنسَوُا۟ ٱلْفَضْلَ بَيْنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Dan jika kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, padahal kamu telah menentukan mas kahwin untuk mereka, maka (bayarlah) separuh daripada apa yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika mereka (para isteri) memaafkan, atau orang yang memegang ikatan nikah (suami) memaafkan. Dan memaafkan itu lebih dekat kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa untuk berbuat kebaikan sesama kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

Namun, jika pernah disetubuhi walaupun tanpa mengeluarkan air mani, maka wajib baginya iddah. Persetubuhan menurut hukum syarak adalah pertemuan dua khitan (dua alat kelamin) dengan syarat masuk dan hilang sekurang-kurangnya hasyafah (takuk zakar) ke dalam faraj isterinya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 364

message user image