Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum saya ingin bertanya apakah hukum saya mematikan kucing yg sudah berusia yg telah disahkan mempunyai penyakit kronik iaitu kegagalan buah pinggang serta lumpuh separuh badan disebabkan masalah ni kucing tersebut mempunyai masalah sukar membuang air kecil sering kena batu karang selain kencing dan berak tidak boleh control sering mengerang kesakitan...selain sukar berjalan dia sering tidak bermaya disebabkan masalah kesihatannya doktor menyarankan saya mematikan Nya bagi mengurangkan penderitaannya..bolehkah saya buat begitu? Dan adakah saya berdosa jika buat begitu...untuk merawatnya melibat kos yg tinggi dan tiada harapan pun.bantu saya yg dalam dilema didahului dengan ucapan Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan soalan yang diajukan saudari, isu ini sangat menyentuh hati kerana melibatkan kasih sayang terhadap haiwan dan pada masa sama dilema hukum syarak. Di dalam Islam amat mengiktiraf hak kehidupan samada manusia atau pun haiwan. Membunuh tanpa sebab syar‘i adalah haram. Nabi Muhammad SAW menekankan ihsan terhadap haiwan, termasuk memberi makan, merawat dan tidak menyiksa. Jika haiwan sakit tenat, tidak ada harapan sembuh dan terus menderita, maka dibenarkan untuk mengurangkan penderitaan dengan cara yang paling ihsan.
Membunuh haiwan tanpa sebab adalah haram. Tetapi jika haiwan tersebut sakit kronik, tiada harapan sembuh dan terus menderita, maka dibenarkan untuk dimatikan dengan cara ihsan. Tidak berdosa jika mematikan kucing tersebut dengan cara yang paling ihsan melalui doktor haiwan, kerana itu termasuk dalam rahmah dan ihsan.
Sekian, terima kasih.