Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt Dato'.
Saya ingin bertanya berkaitan hukum iddah dan musafir bagi pihak ibu saya.
Ibu saya kini dalam perbincangan penceraian dengan suaminya (bapa tiri saya) (masih belum hantar borang penceraian). Antara sebab-sebab penceraian yang dipersetujui adalah:
• Suami tidak menyediakan tempat tinggal sejak awal perkahwinan. Sepanjang perkahwinan mereka tinggal di rumah milik ibu saya bersama bekas suami pertama.
• Suami tidak memberi nafkah kepada isteri sepanjang lebih kurang 8 tahun perkahwinan.
• Suami juga tidak menanggung bayaran utiliti rumah seperti bil air, elektrik, internet dan sebagainya sepanjang tinggal di rumah tersebut.
• Suami tidak mahu berbaik dengan anak-anak tiri dan sering bermusuhan dengan mereka.
• Suami telah meninggalkan rumah sejak November 2025 dan tinggal di rumah anak kandungnya sehingga sekarang. Beliau hanya beberapa kali pulang melawat isteri untuk tempoh beberapa hari sebelum kembali semula ke rumah anak kandungnya, meninggalkan isteri tinggal bersendirian di rumah.
Perbincangan bersama anak-anak kandung, anak-anak tiri serta kedua-dua pihak juga telah dibuat, dan mereka telah bersepakat untuk meneruskan proses penceraian.
Isu yang ingin saya tanyakan ialah, saya telah membeli tiket penerbangan bersama ibu saya ke Indonesia pada bulan Ogos nanti sebelum keputusan penceraian ini dibuat.
Sekiranya proses penceraian selesai sebelum bulan Ogos dan ibu saya masih dalam tempoh iddah, adakah dibenarkan untuk beliau mengikuti perjalanan tersebut ke Indonesia bersama saya?
Saya risau sebab tiket kapal terbang, bilik penginapan telah dibayar. Tujuan kami untuk ke indonesia adalah untuk berjalan sekeluarga.
Untuk maklumat pihak Dato', mak saya kini berumur 65 tahun.
Mohon pencerahan daripada pihak Dato' / Mufti. Terima kasih banyak atas masa dan bantuan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, iddah bagi wanita yang bercerai talak raj'e atau bercerai hidup tidak sama konsepnya dengan wanita yang beriddah kerana kematian suami. Wanita yang kematian suami wajib berkabung (ihdad) selama 4 bulan 10 hari. Adapun, wanita yang bercerai semasa suami hidup tidak diwajibkan ihdad.
Oleh yang demikian jika proses perceraian ibu selesai sebelum bulan Ogos dan ibu puan masih dalam tempoh iddah, maka ibu puan perlu mendapat keizinan suaminya untuk pergi ke Indonesia bersama anak-anak sebagaimana yang dinyatakan.
Sekian, terima kasih.