Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Maaf, saya ingin bertanya. Kalau kita tengah solat kemudian kita rasa ada aurat rambut yang keluar dari telekung kita. Kemudian kita terpaksa melakukan gerakan yang besar melebihi 3 kali kerana rambut tersebut masih terkelua walaupun sudah cuba memasukkannya. Adakah solat tersebut sah atau batal? Terima kasih.
Jawapan
Secara umumnya, menutup aurat adalah salah satu syarat sah solat. Jika aurat terbuka tanpa sengaja dan segera ditutup, solat tidak batal. Namun, jika aurat terbuka dalam tempoh yang lama atau melibatkan gerakan yang banyak untuk menutupnya, ia boleh mempengaruhi kesahihan solat.
Dalam mazhab Syafi'i, gerakan yang banyak dan berturut-turut di luar gerakan solat boleh membatalkan solat. Batasan gerakan yang membatalkan solat adalah tiga kali gerakan berturut-turut yang besar. Manakala gerakan kecil, ianya tidak membatalkan solat walaupun dilakukan melebihi 3 kali gerakan. Gerak besar seperti menggaru dengan menggerakkan hampir seluruh jari, mengangkat tangan, menepuk atau melangkah. Gerakan kecil pula seperti menggaru menggunakan satu jari sahaja.
1. Tidak dianggap berturut-turut sekiranya gerakan besar itu diselangi dengan diam seketika. Seperti melangkah sebanyak 2 kali, kemudian diam seketika, kemudian melangkah sekali lagi, maka ia tidak dianggap sebagai 3 kali berturut-turut.
2. Telah disebutkan dalam kitab al-Taqrīrāt al-Sadīdah Fī al-Masāil al-Mufīdah karangan Ḥasan Bin Aḥmad al-Kāf berkaitan jenis perbuatan yang dikira satu pergerakan:
Maksudnya: Pergerakan tangan ke depan dan kembali, atau meletakkannya dan mengangkatnya, dianggap sebagai satu pergerakan jika dilakukan secara bersambung, iaitu tanpa berhenti.
Oleh itu, dikira satu pergerakan apabila menggaru lengkap satu bulatan kerana ia merupakan perbuatan bersambung, tidak berhenti.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlulah diketahui gerakan puan tersebut berturut-turut atau tidak. Jika ada tempoh antara gerakan besar dengan diam seketika, maka ia tidak dianggap berturut-turut dan sah solat tersebut. Namun tempoh antara selangan gerakan tersebut tidak perlu panjang kerana wajib menutup aurat dengan segera.
Untuk itu boleh dirumuskan bahawa, jika rambut yang terkeluar itu segera ditutup dengan gerakan yang sedikit (tidak melebihi tiga gerakan besar berturut-turut), solat anda sah. Namun, jika anda terpaksa melakukan gerakan yang banyak dan berturut-turut (melebihi tiga gerakan besar) untuk menutup rambut tersebut kerana ia terus terkeluar, maka solat tersebut dianggap batal dan perlu diulang. Ini kerana menutup aurat adalah syarat sah solat, dan gerakan yang banyak di luar gerakan solat boleh membatalkan solat.
Sekian, terima kasih.