BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustaz. Saya nak tanya maaf la kalau soalan saya ni agak pelik sedikit. Haritu saya ternampak anjing lalu sebelah kereta saya time hujan. Saya nak tanya adakah percikan air hujan dekat badan anjing yang terkena dekat kereta tu menjadi kan kereta tu najis? Adakah saya kena sertu atau biarkan sahaja. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk persoalan yang diajukan, tidak perlu sertu dan kereta tersebut tidak dihukumkan najis semata-mata kerana ada nampak anjing lalu berhampiran ketika hujan. Ini bertepatan dalam kaedah fiqh:-

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: Pada asasnya, hukum sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya.

Ini kerana asal sesuatu itu adalah suci sehingga ada keyakinan bahawa najis benar-benar berpindah. Percikan air hujan yang mungkin terkena badan anjing kemudian mengenai kereta adalah suatu perkara yang tidak pasti dan hanya sangkaan. Tambahan pula, air hujan itu sendiri adalah suci lagi menyucikan. Oleh itu, selagi tidak melihat dengan yakin bahawa najis anjing yang basah telah berpindah dan terkena kereta, maka kereta tersebut kekal hukumnya suci. Dalam situasi yang dinyatakan, tidak wajib sertu dan boleh abaikan keraguan tersebut. Oleh yang demikian, disarankan agar tidak membebankan diri dengan perasaan waswas terhadap perkara yang tidak pasti.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 31

message user image